Faces of USIM2016-10-20T08:52:39+08:00

April 2025

USIM Catat 97.6 Peratus Kadar Kebolehpasaran Graduan Tahun 2024

NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mencatatkan pencapaian membanggakan apabila merekodkan kadar kebolehpasaran graduan (GM) sebanyak 97.6% bagi tahun 2024. Ia melepasi penetapan sasaran nasional sebanyak 86.4% yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT). Pencapaian kebolehpasaran graduan  ini merangkumi status empat indikator iaitu bekerja, melanjutkan pengajian, meningkatkan kemahiran dan menunggu penempatan dengan kadar responden sebanyak 99.5% bersamaan 2,937 graduan warganegara. Selaras dengan pengenalan operasi baharu, Kadar Bekerja Graduan (GE) USIM mencatatkan sebanyak 97.6% merujuk kepada perkadaran graduan bekerja kepada bilangan graduan dalam tenaga buruh. Naib Canselor Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani berkata, pencapaian ini hasil kerjasama secara konsisten semua pihak di fakulti menerusi pendekatan holistik yang diterapkan dalam aspek pembangunan sahsiah dan akademik pelajar selain sokongan daripada Pusat Kerjaya dan Alumni USIM dan industri. “Ia memperlihatkan perkembangan positif yang meletakkan USIM dalam kalangan universiti yang berjaya menghasilkan graduan berkualiti dan bersedia untuk menempuh alam pekerjaan”. “Saya berharap agar kejayaan ini terus diperkukuh menerusi program pemantapan kemahiran insaniah, bimbingan kerjaya dan pendedahan kepada pengalaman industri sebenar yang menyeluruh kerana graduan perlu memiliki nilai tambah untuk mendapat tempat di industri pekerjaan”, ujarnya lagi. Pelaksanaan Kajian Pengesanan Graduan di Anjung Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) KPT ini telah dilengkapkan oleh graduan bermula pada bulan Oktober 2024 hingga Februari 2025 yang menjalani Konvokesyen pada tahun 2024. Melalui kajian ini, pihak Kerajaan dan Kementerian dapat merangka pelbagai inisiatif strategik bagi menggubal dasar yang sejajar dengan matlamat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi).   Sumber: Pusat Alumni dan Kerjaya

USIM Diiktiraf YB Menteri KPT di EURIE 2025: Keterlihatan Cemerlang di Pentas Antarabangsa

ISTANBUL – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus menyerlah di persada antarabangsa apabila menerima perhatian dan pengiktirafan daripada YB Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir sempena penyertaannya sebagai penyampai keynote di Eurasia Higher Education Summit (EURIE) 2025 di Istanbul, Turkiye baru-baru ini pada 7-10 April 2025. Kehadiran YB Menteri KPT ke reruai Malaysia yang dikendalikan oleh Education Malaysia Global Services (EMGS) telah menjadi detik bersejarah buat USIM apabila beliau meluangkan masa mengunjungi reruai USIM dan diberi taklimat mengenai penglibatan serta pencapaian universiti sepanjang berlangsungnya EURIE 2025. Dalam kunjungan tersebut, YB Menteri KPT menyatakan rasa bangga terhadap keterlihatan aktif USIM di EURIE 2025 yang berjaya menarik minat pelbagai institusi pendidikan tinggi dari Turkiye, dan Eropah untuk meneroka kerjasama strategik. Menurut beliau, penglibatan aktif USIM menunjukkan komitmen tinggi universiti dalam mendokong agenda pengantarabangsaan yang menjadi fokus KPT dalam Pelan Strategik Pendidikan Tinggi Negara. Selain itu, kesungguhan dan semangat beliau untuk terus bersama-sama USIM dan universiti awam/swasta lain juga sepanjang EURIE 2025 terserlah apabila beliau tidak melepaskan peluang untuk bersama-sama delegasi Malaysia menganjurkan “Malaysian Hour” di mana kesemua delegasi EURIE 2025 dijemput hadir menikmati juadah hari raya di Pavillion Malaysia. Delegasi USIM yang diketuai oleh Pengarah Pejabat Antarabangsa USIM Alamiyyah, Dr Sofia Hayati Yusoff, turut memanfaatkan platform EURIE 2025 dengan mengadakan 14 siri pertemuan dan rundingan strategik dengan institusi seperti Istanbul University, Marmara University dan Uskudar University. Kerjasama yang diteroka melibatkan aspek mobiliti pelajar dan staf, geran penyelidikan bersama, serta penerbitan akademik berimpak tinggi di bawah program Erasmus+. Selain itu, [...]

Topi Keledar Dan Kesedaran: USIM Perkasa Keselamatan Jalan Raya

NILAI – Dalam usaha meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya menjelang musim perayaan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menganjurkan Kempen Patuhi Keselamatan, Selamat Sampai ke Destinasi di AEON Mall Nilai pada 25 Mac 2025. Program yang mendapat sambutan luar biasa ini dihadiri lebih 200 peserta daripada komuniti setempat. Kempen ini dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan, Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai, dan Yayasan Pencegahan Jenayah Daerah Nilai. Antara aktiviti utama termasuk sesi taklimat keselamatan, pemeriksaan kenderaan percuma, serta pengedaran risalah keselamatan kepada orang awam. Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani turut menzahirkan ucapan penghargaan kepada rakan strategik yang terlibat dan beliau mengatakan kempen ini bukan sekadar peringatan bermusim tetapi satu usaha berterusan untuk memastikan pengguna jalan raya lebih cakna terhadap aspek keselamatan. “Sebanyak 60 buah topi keledar telah diedarkan hasil sumbangan beberapa pihak, dan saya berharap agar semua pengguna jalan raya sentiasa berhemah dan bertanggungjawab ketika di atas jalan raya, serta berhati-hati dan menjaga keselamatan ketika pulang ke kampung halaman”. “USIM berharap kempen ini akan membantu mengurangkan kadar kemalangan dan memastikan perjalanan pulang ke kampung lebih selamat untuk semua”, ujarnya lagi. Selain meningkatkan kesedaran tentang keselamatan jalan raya, kempen ini turut menekankan aspek keselamatan jenayah bagi memastikan komuniti lebih peka terhadap ancaman sekeliling. Yayasan Pencegahan Jenayah Daerah Nilai turut berkongsi tips keselamatan kepada orang ramai, termasuk langkah berjaga-jaga semasa meninggalkan rumah untuk pulang ke kampung. Orang ramai yang hadir juga berpeluang berinteraksi secara langsung dengan pegawai keselamatan serta mendapatkan nasihat dan panduan mengenai [...]

USIM Prihatin: Naib Canselor Ziarah Pelajar Terjejas Letupan Gas Putra Heights

PUTRA HEIGHTS – Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md. Shaarani, hari ini 4 April 2025  menziarahi seorang pelajar USIM yang terkesan dalam insiden letupan paip gas di Putra Heights pada 1 April lalu. Pelajar terbabit, Ainaa Syazana Mohamad Asnawi,22, merupakan pelajar Tahun 3 Sarjana Muda Pengajian Akidah dan Agama Dengan Kepujian, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP). Letupan yang berlaku sekitar jam 5.00 pagi itu berpunca daripada kebocoran pada saluran paip gas milik Petronas. Letupan besar tersebut mencetuskan kebakaran hebat dengan api menjulang lebih 30 meter dan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius. Insiden ini telah menyebabkan lebih 100 orang cedera dan kerosakan teruk di kawasan kediaman sekitar. Ketika kejadian, Ainaa berada di dalam rumah bersama keluarganya. “Apabila gegaran berlaku, kami terus berlari keluar menyelamatkan diri. Alhamdulillah, kami sekeluarga selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” ujarnya. 5 Namun begitu, kediaman mereka turut terjejas. Bahagian sisi kenderaan keluarga melebur, dan bumbung rumah mengalami kerosakan akibat tempias letupan serta hujan batu api. Kini mereka berlindung di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights yang disediakan pihak berkuasa. “Aidilfitri tahun ini memang sangat berbeza. Kami tidak dapat menyambut raya seperti biasa, tidak dapat memasak bersama, ziarah keluarga atau sambut tetamu. Tetapi saya tetap bersyukur kerana kami masih bersama dan selamat,” katanya lagi. Dalam lawatan tersebut, Naib Canselor menyampaikan sumbangan daripada Pusat Wakaf dan Zakat (PWZ) USIM, sebagai tanda sokongan dan keprihatinan universiti terhadap kebajikan pelajar. “Kami di USIM amat prihatin dengan keadaan pelajar kami. Lawatan [...]

Sukarelawan IPT Hulur Bantuan di PPS Masjid Putra Heights

PUTRA HEIGHTS – Seramai 22 orang sukarelawan mahasiswa daripada empat institusi pengajian tinggi (IPT) di bawah naungan Majlis Sukarelawan Universiti Malaysia (MASKUM) telah digerakkan ke Masjid Putra Heights pada 5 April 2025 baru-baru ini yang menjadi lokasi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi membantu mangsa kebakaran berpunca daripada kebocoran paip gas di kawasan perumahan Taman Putra Heights. Pasukan sukarelawan tersebut terdiri daripada 10 orang pelajar dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), lima orang dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), lima orang dari Universiti Utara Malaysia (UUM), dan dua orang dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS). Mereka hadir bertugas secara berjadual, dengan syif pagi bermula seawal jam 7.00 pagi hingga 4.00 petang dikendalikan oleh kumpulan mahasiswa pertama. Seterusnya, bantuan diteruskan oleh kumpulan mahasiswa dari universiti lain untuk syif petang sehingga malam, bermula 4.00 petang hingga 12.00 malam. Sukarelawan menjalankan pelbagai tugas antaranya membantu penyediaan makanan dan minuman, menyusun agihan bantuan asas, membersihkan kawasan PPS, serta menghulurkan sokongan moral kepada mangsa terutama warga emas, ibu tunggal dan kanak-kanak yang masih terkesan secara emosi akibat tragedi itu. Menurut Ridhwan Syahir, pelajar USIM yang juga penyelaras utama sukarelawan IPT bagi operasi kali ini, kehadiran mahasiswa ini membuktikan semangat kesukarelawanan dan kebersamaan dalam kalangan anak muda. “Ramai mangsa trauma, tidak sempat selamatkan barang-barang penting, hanya sehelai sepinggang. Kami datang dengan niat untuk bantu setakat yang mampu. Kadang-kadang hanya dengan menjadi pendengar juga membuatkan mereka berasa selesa untuk berkongsi cerita dan pengalaman,” katanya. Tambah Ridhwan lagi, sistem syif yang dilaksanakan membantu memastikan tenaga kerja sentiasa cukup sepanjang hari tanpa [...]

USIM Prihatin: Pasukan Perubatan Fakulti Perubatan USIM Hulur Bantuan Kepada Mangsa Kebocoran Gas di Putra Heights

PUCHONG – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus menzahirkan komitmen terhadap misi kemanusiaan apabila pasukan perubatan dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan USIM (FPSK) USIM tampil membantu mangsa insiden kebocoran gas yang berlaku di Putra Heights baru-baru ini. Insiden yang berlaku pada hari Selasa  yang lepas  itu telah mengakibatkan lebih 300 orang penduduk terpaksa dipindahkan ke dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) iaitu di PPS Masjid Putra Height dan PPS Camellia, MBSA, yang terletak kira-kira 1.2 kilometer dari lokasi kejadian. Mangsa terdiri daripada penduduk sekitar kawasan kejiranan Apartment Putra Heights dan kampung sekitar, termasuk warga emas, kanak-kanak, dan individu yang mengalami masalah kesihatan. Pasukan perubatan dari FPSK USIM yang diketuai oleh Prof Madya Dr. Mohd Radzniwan A Rashid, tampil ke lokasi PPS untuk melihat keadaan semasa mangsa, dan telah diminta untuk turut serta membantu pasuka perubatan Kesihatan daerah Petaling di lokasi PPS Camelia tersebut. Menurut Dr. Radzniwan, misi bantuan ini adalah sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial universiti melalui program USIM Prihatin yang memberi tumpuan kepada bantuan kemanusiaan dan sokongan kesihatan kepada masyarakat terjejas. “Kami menerima maklumat tentang kejadian pada hari Sabtu malam 5 April 2025 dan terus bersiap siaga untuk menghantar pasukan keesokan harinya. Seramai 10 petugas perubatan terdiri daripada pakar perubatan Fakulti Perubatan USIM telah digerakkan ke PPS pada pagi Isnin,” katanya. Tambah beliau, pasukan perubatan USIM disana ditugaskan untuk menilai tahap kesihatan mangsa serta menyediakan bantuan kesihatan asas, khususnya kepada mereka yang mengalami gejala aringan kibat terhidu gas seperti luka-luka kecil, sesak nafas, sakit dada dan pening kepala, tekanan [...]

USIM Hadiahkan BDR Sempena Hari Lahir Staf dalam Majlis Sambutan Hari Raya Universiti

NILAI– Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus meraikan keindahan lebaran dan memperkukuh kebajikan warga kerja menerusi Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 1446H/2025M yang berlangsung meriah di Dewan Tuanku Canselor USIM, semalam 9 April 2025. Majlis yang bertemakan “Nostalgia Raya USIM #EratSilaturrahim” telah memperlihatkan penyertaan hampir 2,300 warga USIM dan rakan strategik dengan penglibatan lebih 22 gerai makanan tradisional yang mencerminkan kepelbagaian budaya dan citarasa di Malaysia. Keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Canselor, Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud dan Yang Amat Mulia Tunku Zain Al-‘Abidin ibni Tuanku Muhriz, Tunku Pro-Canselor USIM menyerikan lagi majlis dan mencerminkan sokongan padu pimpinan universiti terhadap semangat kekeluargaan dan kebersamaan yang ditonjolkan. Dalam ucapan aluannya, Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani turut menyampaikan satu pengumuman istimewa yang menjadi hadiah bermakna buat seluruh staf USIM bersempena sambutan Bulan Hari Jadi Staf. “Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JKPU) Bil. 12/2025 yang telah bersidang pada 8 April 2025 telah bersetuju meluluskan Kemudahan Bekerja Dari Rumah (BDR) sempena Hari Ulang Tahun Kelahiran staf USIM,” ujar beliau. Menurut beliau, kemudahan ini akan mula berkuat kuasa pada 1 Mei 2025 dan terbuka kepada semua staf kecuali yang bertugas dalam perkhidmatan penting, sebagai langkah memperkasa kebajikan dan kesejahteraan warga kerja serta meningkatkan produktiviti dan mutu penyampaian perkhidmatan. Maklumat lanjut berhubung pelaksanaan kemudahan ini akan diperincikan oleh Bahagian Sumber Manusia (BSM), Jabatan Pendaftar dalam masa terdekat. Majlis turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk persembahan kebudayaan, cabutan bertuah serta keunikan dekorasi gerai dan tema berpakaian yang menonjolkan [...]

“Buli, Amuk, Bunuh – Adakah Masyarakat Kita Sedang Merana?”

Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, negara digemparkan dengan insiden tragis melibatkan kes buli, amuk, dan bunuh. Kes-kes keganasan yang dahulunya dianggap terpencil kini semakin kerap berlaku, menggambarkan perubahan yang membimbangkan dalam masyarakat kita. Daripada kejadian buli di sekolah yang menyebabkan kecederaan parah, pergaduhan di tempat kerja yang berakhir dengan kehilangan nyawa, sehinggalah insiden serangan di tempat awam yang mencetuskan ketakutan, semuanya menimbulkan satu persoalan besar—mengapa masyarakat kita semakin hilang pertimbangan? Di jalan raya, budaya samseng semakin menjadi-jadi. Hanya kerana selisih faham kecil, pemandu sanggup keluar dari kenderaan dan bertindak ganas, tanpa mengira siapa yang menjadi mangsa. Orang tua, wanita, bahkan ibu yang sedang membawa anak kecil turut menjadi sasaran kemarahan melampau. Tidak cukup dengan cacian dan ugutan, ada yang sanggup memukul, dan merosakkan harta benda hanya kerana emosi tidak terkawal. Ke mana hilangnya sikap sabar dan timbang rasa? Islam sebagai ad-Din yang sempurna menekankan nilai rahmah (kasih sayang), keadilan, dan kesabaran. Namun, apabila keganasan menjadi jalan utama dalam menyelesaikan konflik, ini menunjukkan bahawa nilai-nilai murni semakin terhakis. Rasulullah SAW bersabda: "Seorang Muslim itu adalah saudara bagi Muslim yang lain, dia tidak menzaliminya dan tidak membiarkannya dizalimi." (HR Bukhari & Muslim). Malangnya, ikatan ukhuwah ini semakin longgar apabila manusia lebih memilih kekerasan berbanding penyelesaian secara hikmah. Tekanan hidup sering dijadikan alasan untuk tindakan agresif, tetapi Islam mengajar umatnya untuk bersabar dan bertawakal. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah, ayat 286: "Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya." Setiap ujian pasti ada jalan keluar yang diredhai, [...]

Imam Masjid Al Bukhary dinobat Peserta Terbaik EPIH 2025

NILAI – Lembaga Tabung Haji (TH) meneruskan kerjasama strategik dengan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dalam melahirkan barisan pembimbing ibadat haji yang berwibawa melalui penganjuran kali kedua Program Eksekutif Pembimbing Ibadat Haji (EPIH). Seramai 116 orang peserta yang terdiri daripada Pengkursus Ibadah Haji Tanah Air (PEKTA), guru agama syarikat Pengelola Jemaah Haji (PJH), pegawai TH, pegawai Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), kakitangan USIM dan individu perseorangan telah berjaya menamatkan program ini dengan jayanya pada 14 April 2025. Peserta Terbaik EPIH 2025 kali ini ialah Muhammad Rifaiuddin Isa, 35, yang mendapat markah keseluruhan 91 peratus. Beliau merupakan Imam Masjid Al Bukhary Kuala Lumpur. “Saya berbesar hati dapat mengikuti program ini kerana banyak input dan ilmu  bermanfaat yang sangat diperlukan bagi seorang pembimbing haji dan umrah”. “Cabaran membahagikan masa untuk menjalankan tugas hakiki sebagai seorang imam dan peserta program memberi saya kepuasan dan kesyukuran apabila berjaya memperoleh sijil tauliah pada hari ini. Saya berterima kasih kepada abang saya yang merupakan seorang mutawwif yang memperkenalkan program ini kepada saya”, tambah Rifaiuddin. Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani Naib Canselor USIM dalam ucapan aluannya menzahirkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada semua peserta yang telah bergraduasi dengan jayanya. “Melalui subjek-subjek seperti Tafaqquh Fid Din, Kompetensi Pengurusan Haji dan Umrah serta Eksekutif Pengurusan Haji dan Umrah, para peserta telah dilengkapi dengan pengetahuan, kemahiran, dan kecekapan yang diperlukan untuk menjadi pembimbing haji dan umrah yang cemerlang”, ujarnya. Sementara itu, Ketua Jabatan Haji TH, Haji Mohd Hisham Harun berkata program EPIH 2025 yang dilaksanakan menerusi latihan [...]

Ops Mega Pembersihan Putra Heights: 20 Mahasiswa USIM Turun Padang bersama Mercy Malaysia & KPT

PUTRA HEIGHTS – Seramai 20 mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menyertai Ops Mega Pembersihan di kawasan terjejas akibat insiden letupan paip gas di Putra Heights. Program yang berlangsung selama dua hari bermula 12 hingga 13 April ini merupakan inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Mercy Malaysia. Sukarelawan yang terlibat terdiri daripada ahli Kelab Urusetia Perubatan Perlindungan Pelajar (U3P) dan Sekretariat Kesukarelawanan Mahasiswa (SKM). Mereka berganding bahu bersama pelbagai agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam operasi pembersihan berskala besar bagi membantu penduduk yang terkesan akibat kebakaran susulan letupan tersebut. Majlis pelancaran Ops Mega Pembersihan telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Amirudin Shari, Menteri Besar Selangor. Dalam ucapannya, beliau menyifatkan penglibatan pelbagai pihak termasuk institusi pengajian tinggi sebagai lambang solidariti dan keprihatinan rakyat Malaysia terhadap mangsa bencana. Antara tugasan utama para sukarelawan termasuk mengalihkan serpihan kebakaran, membersihkan sisa-sisa hangus serta membantu menyusun semula barangan mangsa yang musnah. Menurut Muhammad Haziq bin Yusnizam, pelajar Tahun 3 Matematik Kewangan yang turut serta dalam misi ini, mereka berdepan dengan pelbagai cabaran sepanjang operasi berlangsung. “Keadaan sekitar amat mencabar, penuh dengan serpihan tajam dan debu yang boleh membahayakan. Kami perlu sentiasa berwaspada agar tidak mengalami kecederaan. Selain itu, berdepan dengan mangsa yang masih trauma memerlukan kami untuk berinteraksi dengan penuh empati. Meskipun penat, pengalaman ini benar-benar mengajar kami tentang nilai kemanusiaan, semangat kerjasama dan erti kesyukuran,” katanya. Penyertaan mahasiswa USIM dalam misi ini bukan sahaja menyumbang tenaga kepada komuniti, malah menjadi platform pembelajaran luar bilik kuliah yang berharga. Ia sekali gus memperkukuh [...]

Go to Top