NILAI, 30 DIS 2014 – Institut Penyelidikan dan Pengurusan Halal (IHRAM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Halal Industry Development Corporation (HDC) serta TPM Biotech Sdn Bhd (TPMB) bekerjasama menganjurkan kursus Professional Halal Analyst Program (PHAP) – Siri 1/2014, bermula dari 23 Oktober 2014 hingga 9 Disember 2014, bertempat di Kampus Utama USIM, Bandar Baru Nilai dan Makmal Analisis Halal, TPMB, Bukit Jalil. Program ini mendapat biaya dari Kementerian Pendidikan Malaysia di bawah Program Pemindahan Ilmu (KTP). Sepanjang kursus, peserta telah diberi pendedahan teori dan amali kepada enam modul dibawah kluster sains, teknologi, pengurusan, syariah, perundangan dan audit.

Objektif utama penganjuran program ini adalah untuk memberi kesedaran berkaitan Halal kepada sasaran masyarakat dan industri, memindahkan pengetahuan Halal berkaitan (teori dan praktikal, protokol Syariah, prosedur Samak, pembangunan makmal dan analisis) kepada industri, dan meningkatkan pengetahuan dalam amalan, pemantauan, audit dan pelaksanaan Halal.

Modul yang dipelajari merangkumi pelbagai bidang seperti Ujian Kompetensi Halal, pengurusan halal, sains dan teknologi halal, sains makanan dan peraturan/akta berkaitan, instrumentasi analisis halal, standard dan pengauditan halal dan syariah undang-undang dan ia telah disertai seramai 30 orang peserta dari pelbagai bidang dan agensi.

Menurut Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad program ini diwujudkan sejajar dengan keperluan industri halal sebagai salah satu sektor pelbagai disiplin yang kompleks dan holistik, di samping itu, ianya mewujudkan pelbagai peluang ekonomi yang menuntut pendekatan bersepadu di mana objektif program ini adalah untuk memberi kesedaran berkaitan isu Halal kepada masyarakat dan industri dan untuk memindahkan pengetahuan Halal berkaitan (teori dan praktikal, protokol Syariah, prosedur Samak, pembangunan makmal dan analisis) kepada industry serta meningkatkan pengetahuan dalam amalan, pemantauan, audit dan pelaksanaan Halal khususnya di dalam Malaysia.

Tuan Haji Selamat bin Paigo, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan dalam ucapan perasmiannya menyatakan bagi mencapai tahap graduan yang kompeten dan professional, kita sangat memerlukan para pensyarah, penceramah dan pembimbing yang boleh menyampaikan pengetahuan dan kemahiran kepada para pelatih dalam kursus eksekutif halal berteraskan aqli dan naqli. Bukan hanya berbentuk teori malahan parktikal, operasi dan berdasarkan maklumat dan perkembangan terkini dalam bidang ini.

“Oleh kerana Malaysia telah diiktiraf sebagai perintis sistem pensijilan halal dunia dan beberapa negara telah menggunapakai standard dan prosedur yang sama, maka sudah sampai masanya JAKIM akan bertindak tegas kepada mana-mana pemegang sijil halal yang melanggar dasar-dasar syariah yang telah ditetapkan berdasarkan pindaan Akta Perihal Dagangan (APD 2011)”, jelasnya lagi.

Antara peserta dari industri yang turut serta adalah Nasra Naturhana, 27 yang merupakan seorang Freelance Trainer & Consultant berkongsi pandangannya setelah mengikuti modul ini. “Saya berminat mengikuti kursus ini kerana melihat kepada potensi industri halal dalam pasaran yang tinggi untuk di teroka lebih mendalam. Mengikuti modul kali ini adalah berbeza berbanding kursus yang pernah saya ikuti sebelum ini kerana adanya sesi perbincangan perundangan dan analyst instrument termasuklah beberapa praktikal yang boleh dilakukan selepas pembelajaran.”

“Profesion saya sebagai konsultan ini memerlukan saya mendalami seberapa banyak ilmu bermanfaat untuk pemindahan ilmu kepada pelanggan dan industri. Menjadi tanggungjawab saya untuk menambah ilmu supaya ilmu yang disampaikan kepada pihak luar mudah difahami, tepat dan bertepatan dengan syariah Islam,” tambah Nasra yang merupakan bekas pelajar USIM yang bergraduasi tahun 2012.

Manakala bagi Encik Meor Badrul Niza, 46 penolong timbalan presiden yang bekerja di Syarikat Konsortium Logistik Berhad (KLB) berkata, program halal ini sangat bermanfaat dan berkesan kerana bagi syarikat yang mengendalikan supply chain logistic adalah perlu mengetahui secara mendalam bagaimana pelaksanaan halal yang sebenar dan tepat dilaksanakan sebelum barangan yang dihantar itu sampai kepada pelanggan.

“Program halal ini merupakan wadah untuk ummah mempelajari dan mendalami keperluan halal kerana ia merupakan fardhu kifayah”, tambah beliau.

 

Disediakan oleh:

Noorumaina Mohamed Yunus
PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204