Faces of USIM2016-10-20T08:52:39+08:00

Disember 2018

Punyai tarikan tersendiri, Rumah Solar Mizan raih People’s Choice Award di SDME 2018

NILAI, 1 Disember 2018– Rumah Solar Mizan (MizanHome) yang menjadi wakil tunggal Malaysia dan Asia Tenggara tidak pulang dengan tangan kosong dari Solar Decathlon Middle East (SDME) 2018 apabila dipilih menerima People's Choice Award. Walaupun tidak berjaya menempatkan diri sebagai tiga rumah terbaik dalam SDME 2018, tetapi dengan anugerah yang diterima ini ia membuktikan bahawa keunikan dan keistimewaan Rumah Solar Mizan telah berjaya menawan hati masyarakat antarabangsa. Dalam majlis kemuncak yang berlangsung di Tapak Solar Syeikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum, Dubai pada Khamis, MizanHome diumumkan menerima undian tertinggi iaitu sebanyak 29.1% daripada 32,436 yang mengundi di laman sesawang rasmi SDME 2018. Jumlah undian yang diterima ini sekaligus menewaskan 14 rumah solar lain yang turut bertanding di sana. MizanHome adalah kolaborasi strategik kepakaran dua buah universiti awam iaitu Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sebagai universiti peneraju bekerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Selain anugerah ini, MizanHome turut menerima wang tunai AED400,000 daripada penganjur sebagai hadiah insentif berjaya menyiapkan rumah solar dalam tempoh 14 hari yang ditetapkan. Melalui keputusan penuh penjurian yang dikeluarkan penganjur, MizanHome turut berjaya tersenarai sebagai 10 rumah solar terbaik dalam beberapa kategori yang dinilai oleh juri profesional. MizanHome tersenarai dalam empat kategori iaitu Energy Efficiency; Sustainability; Innovation dan Communication. Dalam pertandingan anjuran Dubai Electricity and Water Authority (DEWA), MizanHome telah mengetengahkan tujuh inovasi menggunakan teknologi terkini iaitu Rekaan Rumah Tiga Lapisan, Teknologi Grey Water System, Pendebat Dinding Organik, Chil Water Storage System, Sistem Tenaga Hibrid, Aplikasi Smart Home dan Inovasi Pembinaan Modular Cage. Sebanyak 15 buah rumah [...]

November 2018

Pelajar Jurusan Sains Bioteknologi Makanan USIM Wakili Negara ke Pertandingan Hafazan Antarabangsa di Dubai

NILAI, 17 November - Puteri Nur Nadia Bakri, 22, pelajar Sarjana Muda Sains Bioteknologi Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dipilih mewakili Malaysia ke pertandingan hafazan peringkat antarabangsa di Dubai. Beliau menyertai Syeikha Fatima Bint Mubarak International Holy Quran Competition yang berlangsung dari 4 November lalu dan berkahir pada semalam (16 November). Pertandingan ini hanya terbuka kepada peserta wanita sahaja ini disertai 63 buah negara termasuk Malaysia. Antara negara yang bersaing di Dubai ini ialah Brunei, Indonesia, Filipina, Sri Lanka, Kuwait, Algeria, Sudan serta negara tuan rumah. Puteri Nur Nadia mewakili Malaysia setelah muncul johan dalam Pertandingan Hafazan Peringkat Kebangsaan 2018 anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada April lalu sebagai peserta mewakili Negeri Sembilan. Walaupun tidak berjaya menempatkan diri sebagai sepuluh peserta terbaik di Dubai, tetapi penyertaan tetap membanggakan USIM. Ini adalah penyertaan kali ketiga beliau diperingkat antarabangsa membawa nama negara dan antara kejayaan yang pernah diraih beliau adalah muncul johan dalam pertandingan hafazan antarabangsa di Brunei Darussalam pada 2015. Menurut bekas pelajar Maahad Integrasi Tahfiz Selangor, Kuala Langat ini, setiap pertandingan yang disertai memberi pengalaman dan ilmu baharu kepadanya. Beliau mula menghafal Al-Quran bermula dari Tingkatan Satu dan berjaya menamatkan hafazan 30 juzuk ketika di Tingkatan Lima. "Saya merupakan anak sulung dari lapan orang adik-beradik dan ibu-bapa menekankan kepada kami kepentingan menghafaz Al-Quran". "Bagi memastikan hafazan ini terjaga, kebiasannya saya akan fokus mengulang bacaan kira-kira sejam sehari selepas menunaikan solat Maghrib di kampus. Tiada guru khas yang membimbing selain ahli keluarga cuma apabila mewakili [...]

Majlis Konvokesyen ke 16 USIM rai 2712 graduan

NILAI, 27 November 2018 - Seramai 2,712 graduan menerima ijazah yang berlangsung sebanyak lima(5) sidang pada Majlis Konvokesyen ke 16 USIM yang diadakan di Dewan Tuanku Canselor bermula 27 hingga 29 November 2018. Manakala Pesta Konvokesyen pula bermula 24 hingga 29 November 2018 di perkarangan Kompleks Sukan Tunku Najihah. Istiadat Pembukaan Majlis Konvokesyen disempurnakan oleh DYMM Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud, Canselor USIM. Daripada jumlah tersebut, seramai 113 orang penerima Doktor Falsafah, 119 orang penerima Sarjana, 101 orang penerima Diploma dan 2,379 orang penerima Ijazah Sarjana Muda. Peningkatan graduan yang menerima ijazah pada tahun ini meningkat kepada 5.5%. Graduan PhD pada tahun ini datang daripada 15 buah negara negara meliputi Malaysia, Algeria, Bahrain, Mesir, Brunei, Indonesia, Iraq, Jordan, Libya, Nigeria, Oman, Sudan, Syria, UAE dan Yaman. Graduan PhD paling ramai adalah daripada negara Libya iaitu seramai 38 orang dan Malaysia yang kedua tertinggi iaitu seramai 20 orang. Majlis Konvokesyen tahun ini memperkenalkan tema “Pembangunan Lestari”. Pembangunan lestari dan mapan turut ditekankan di dalam Islam kerana ia bersangkutan dengan hubungan manusia dengan alam sekitar dari aspek tauhid, melihat tanda-tanda kekuasaan Allah dan tanggungjawab sebagai khalifah yang mentadbir urusan di dunia. Selain itu turut berkait kepada menjaga amanah, berlaku adil dan menjaga keseimbangan alam sekitar (mizan) agar dapat memberikan manfaat dalam kehidupan di dunia dan akhirat. Konsep Pembangunan Lestari unik kerana ia membawa rahmat kepada sekalian alam termasuk manusia, haiwan dan alam sekitar. Menyedari akan kepentingan tentang perkara ini, USIM memilih untuk [...]

Sambutan Hari Sains Sedunia 2018 & Majlis Perasmian Penutup Sambutan 15 Tahun FST

Fakulti Sains dan Teknologi (FST) mengambil inisiatif dan menzahirkan kepekaan serius dalam isu Sains, Teknologi, Nilai Keagamaan, Kejuruteraan, Kesenian dan Matematik (STREAM) bersempena dengan Sambutan 15 Tahun Fakulti Sains dan Teknologi (FST) bertemakan Sains: Hak Asasi Manusia berketepatan dengan tema Sambutan Hari Sains Sedunia 2018 oleh UNESCO. Program ini telah diadakan pada 12 Nov 2018 bermula jam 9.00 pagi bertempat di Perkarangan FST, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan melibatkan kebersamaan bersama para pelajar, guru dan masyarakat setempat. Kebersamaan ini bertujuan bagi menonjolkan keseronokan dalam eksplorasi Dunia Sains yang mana merupakan kerjasama bersama Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan dan Akademi Sains Malaysia (ASM). USIM yang diterajui oleh FST sebagai sekretariat dengan bantuan Pusat Komunikasi Strategik (Stracomm) USIM, Jabatan Keselamatan dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar secara komited merancang kelancaran perjalanan Sambutan Hari Sains Sedunia dan Majlis Perasmian Penutup Sambutan 15 Tahun FST agar berjaya mencapai objektif yang ditetapkan iaitu untuk mengubah persepsi masyarakat yang sering kali memikirkan bahawa Sains itu adalah satu bidang yang sukar dan tidak menarik. Ilmu pengetahuan berkaitan Sains perlu diketengahkan dalam diri setiap pelajar kerana Sains merupakan antara aspek yang penting dalam memacu perkembangan teknologi namun hilangnya minat pelajar dalam meneruskan pengajian dalam bidang ini bakal merencatkan pertumbuhan Negara. Usaha-usaha secara inklusif perlu dilaksanakan oleh pelbagai pihak termasuk guru, pensyarah dan masyarakat untuk memastikan minat ini tidak terus pudar dalam kalangan masyarakat Malaysia. Sepanjang program berlangsung, aktiviti-aktiviti seperti Eksplorasi Sains, penghasilan keju, yogurt, minyak wangi dan mesin cetak 3D turut disediakan bagi memperlihatkan Dunia Sains adalah Dunia yang [...]

Misi kemanusiaan USIM ringankan beban mangsa gempa di Lombok 2018

Lombok Utara, Isnin 5 November 2018. Ketika ramai bantuan kemanusiaan mangsa gempa dan Tsunami diberikan kepada lokasi terjejas baru-baru ini di Sulawesi Tengah, tidak dilupakan juga mangsa gempa di Lombok yang masih dalam kondisi perlu huluran bantuan bagi membaik pulih keadaan ekoran gempa kuat pada bulan Ogos tahun ini. Bagi turut serta meringankan beban masyarakat Lombok, pasukan misi kemanusiaan yang diterajui oleh 12 orang pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang USIM bekerjasama dengan Aman Palestin Indonesia serta Universitas Muhammadiyah Mataram telah turut serta menghulurkan bantuan persekolahan kepada beberapa sekolah dan pondok-pondok pesantren terjejas gempa di wilayah Lombok Utara. “Misi kemanusiaan Malaysia Peduli Lombok 2018 yang dijalankan pada 5-6 November ini adalah bentuk keprihatinan rakyat Malaysia yang sentiasa terpanggil bagi membantu saudara-saudara di negeri jiran yang memerlukan huluran tangan kita. Meskipun dengan jumlah bantuan yang tidak banyak, tetapi kedatangan kami untuk silaturrahim dan melihat keadaan mangsa terjejas di sana dapat menaikkan semangat mereka untuk tabah menghadapi ujian serta bangkit meneruskan kehidupan seperti biasa.” jelas Dr Mohd Faisal Mohamed ketua misi yang juga pensyarah kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang USIM. Sebagai sebuah universiti yang perihatin, USIM adalah salah satu universiti awam yang terus aktif menggalakkan para pensyarah dan pelajarnya mengadakan misi-misi kemanusiaan dan program khidmat masyarakat di dalam mahupun luar negara menerusi program Global Islamic Student Outreach (GISO) dan Lawatan Antarabangsa (LA). Sejak dilancarkan pada 2011, sehingga 2016 sebanyak 156 pengembaraan GISO telah dijalankan dengan penjelajahan ke lebih 20 buah negara yang melibatkan keseluruhan 3181 pelajar. Amat wajar bagi kita sentiasa membudayakan sikap [...]

Pelajar PERMATA Insan pembentang kertas kerja termuda di YOURS

KUALA LUMPUR, 12 November 2018 - Pembentangan kertas kerja penyelidikan oleh dua orang pelajar Kolej PERMATA Insan, USIM dalam Seminar Penyelidikan Belia Kebangsaan (YOURS) 2018 telah membuktikan keunikan serta kecemerlangan budaya PERMATA Insan dalam pemupukan elemen penyelidikan dan inovasi di peringkat pelajar. Kertas kajian pelajar yang bertajuk ‘Correlation Study of Intelligence with Mental Health Issues among Gifted and Talented Students’ telah berjaya dipilih antara 45 kajian yang dibentangkan pada 12 November 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). YOURS 2018 telah dirasmikan oleh YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Menteri Belia dan Sukan Malaysia. Artikel yang telah dibentangkan akan diterbitkan dalam Malaysian Journal of Youth Studies Edisi Khas Agenda Sosial 2019. YOURS 2018 merupakan persidangan kali ketiga anjuran Kementerian Belia dan Sukan Malaysia dan Insititut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES). Bertepatan dengan tema ‘Mendepani Cabaran Agenda Sosial ke arah Kesejahteraan Belia’, enam sub tema penyelidikan telah ditampilkan seperti kesihatan mental, ketagihan skrin, gaya hidup sedentari, gejala sosial tradisional, kurang belas ihsan dan lain-lain isu pembangunan belia. Antara objektif seminar kebangsaan ini adalah untuk mengetengahkan cetusan ilham baharu daripada ramai pihak dalam bidang pembangunan belia masa hadapan. Skop program ini juga bukan sahaja terhad kepada pembentangan proposal kajian dan memperluas pemikiran peserta, malah turut menyediakan ruang untuk para peserta dari seluruh negara berkongsi idea dalam perbincangan dan penerokaan ilmu baharu. Ahmad Faiz Yazid, 16 dan Abdul Razzak Khan Rustum Ali Khan, 16 telah melakar nama sebagai pembentang termuda apabila disenarai pendek sebagai pembentang yang majoritinya terdiri daripada pensyarah, penyelidik dan kakitangan [...]

SDME 2018 dibukas rasmi, Rumah Solar Mizan tampil tujuh inovasi terkini Rumah Pintar

DUBAI, 14 November 2018 – Pertandingan Solar Decathlon Middle East (SDME) 2018 dibuka secara rasmi sebentar tadi oleh Pemerintah Dubai, Syeikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum dalam majlis penuh gemilang di Tapak Solar Syeikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum. Pada majlis ini juga ke semua 15 peserta yang menjadi finalis akhir SMDE 2018 termasuk Rumah Solar Mizan selaku wakil tunggal Malaysia dan Asia Tenggara diperkenalkan secara rasmi kepada para hadirin. Kriteria utama yang perlu diikuti oleh peserta SDME ialah rumah pintar yang dibina perlu beroperasi sepenuhnya menggunakan tenaga solar selain perlu disesuaikan untuk menghadapi cabaran suhu panas, habuk dan kelembapan yang tinggi di Dubai. Justeru itu, sebanyak tujuh inovasi menggunakan teknologi terkini ditampilkan pada Rumah Solar Mizan USIM-UTM dalam SDME ini. Rekaan Rumah Tiga Lapisan Bagi menghalang kesan ribut pasir pada kediaman, rekaa rumah mengintegrasikan konsep Mashrabiya yang diinspirasikan dari mata unta yang mempunyai tiga kelopak mata yang memberi perlindungan pada matanya semasa ribut pasir. Ia diterapkan pada rumah ini dengan penanaman pokok berdaun sebagai lapisan pertama, diikuti pelindung/bidai cahaya matahari bermotifkan bunga tabur songket Melayu dan lapisan ketiga adalah pintu serta tingkap khas yang tahan suhu tinggi, tekanan angin, habuk dan haba.   Teknologi Grey Water System Sistem penapisan air berteknologi nano yang mengitar semula air yang telah digunakan di dalam rumah menjadi bebas bakteria untuk digunakan semula untuk pelbagai tujuan seperti berwuduk (air mutlaka) dan minuman Pendebat Dinding Organik Mengurangkan kesan haba panas luar dirasai di dalam rumah, pendebat dinding yang digunakan diperbuat dari sisa bahan buangan pokok kelapa [...]

Siswa USIM kerah tenaga 14 jam sehari bina Rumah Mizan di Dubai

DUBAI, 12 November 2018– Demi mengharumkan nama negara dalam Pertandingan Solar Decathlon Middle East (SDME) 2018, sekumpulan 35 siswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berkoban masa dan tenaga demi menyiapkan Rumah Solar Mizan Home di Dubai. Selaku wakil tunggal Malaysia ke SDME 2018, kumpulan pelajar ini bersama lima pensyarah berkampung di Tapak Solar Syeikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum bermula 2 November lalu bagi memulakan pembinaan Mizan Home. Kumpulan pertama berada di Dubai sejak 26 Oktober lalu diikuti kumpulan kedua yang tiba pada 3 November. Cabaran awal pembinaan rumah solar ini sudah dirasai apabila tidak dapat dimulakan mengikut perancangan awal pada 29 Oktober berpunca dari proses dokumentasi dan kerosakan pada barangan dalam kontena yang dibawa. Menurut ketua pembinaan, Muhammad Ariff Hanafi, pelajar tahuk akhir Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina USIM, beliau bersama rakan-rakannya memulakan pembinaan di tapak projek bermula dari jam 9.00 pagi hingga 11.00 malam setiap hari. Mereka juga perlu menempuh satu jam perjalanan dari penginapan untuk sampai ke tapak projek. “Rasa penat, letih dan tekanan itu memang dirasai semua dengan ditambah cabaran suhu panas pada siang dan sejuk apabila malam di Dubai. Tetapi itu semua kami abaikan kerana fokus utama dan motivasi tinggi untuk memastikan Mizan Home ini siap sepenuhnya menjelang 13 November (esok) seperti yang ditetapkan oleh penganjur. Tidak terlintas untuk berputus asa kerana kami telah membuat persiapan selama dua tahun untuk pertandingan ini” “Kami telah bekerja lebih dari 180 jam untuk menyiapkan rumah ini dengan semangat yang berkobar-kobar agar rumah solar Mizan Home dapat melakar sejarah [...]

Inovasi Integrasi ilmu Naqli Aqli USIM dipersada Antarabangsa

NILAI- Selari dengan misi universiti yang bertekad menjadi sebuah institusi ilmu terkehadapan berteraskan pengajian Islam dan menjadi peneraju ilmu baharu dengan menggunakan teknologi terkini, USIM hari ini terus mara ke hadapan. Kurikulum berteraskan paduan ilmu Naqli dan Aqli  yang diterjemahkan dalam bentuk teknologi moden ini semakin mendapat pengiktirafan peringkat nasional dan antarabangsa. Bermula dengan pendaftaran Hak Cipta melalui Perbadanan Harta Intelek Malaysia pada tahun 2016 “Interactive Courseware: Quranic Verses on the Integration of Naqli and Aqli Knowledge” terus berkembang selari dengan keperluan pembelajaran moden masa kini. Inovasi pembelajaran berteraskan ilmu Naqli melalui kaedah moden sesuai dengan kehendak masa kini, semakin diterima pelbagai pihak. Oleh itu tidak hairanlah apabila diketengahkan dalam pameran dan pertandingan inovasi, ia mencuri perhatian juri yang terdiri daripada pelbagai latar belakang. Pengiktirafan oleh Universiti Malaya selaku sebuah universiti penyelidikan dengan menganugerahkan pingat Emas terhadap inovasi Smart Q: Quranic Verses on the Integration of Naqli and Aqli Knowledge dalam International Conference on Tadabbur al-Quran: Innovation & Development yang dianjurkan oleh Akademi Pengajian Islam di unversiti tersebut, cukup memberangsangkan. Begitu juga pengiktirafan oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris sebagai sebuah  institusi pengajian tinggi dalam bidang pendidikan, bagi inovasi Smart e-Fatihah, BioKids dan Smart i-Astronomy dengan menganugerahkan pingat Emas kepada semua produk ini adalah salah satu lambang kemajuan inovasi ini. Bagi melihat keperluan dari perspektif kepakaran teknologi, inovasi ini dikembangkan ke Universiti Teknologi MARA dengan mempamerkan produk i-Botany dan Q-Entomology  dalam International Invention, Innovation & Design 2018 di Universiti Teknologi MARA Negeri Sembilan. Hasil daripada program tersebut, inovasi ini masing-masing mendapat [...]

Kaedah P2P wajar diperhalusi

Dalam belanjawan 2019 yang lepas, kerajaan ingin memberikan peluang kepada rakyat Malaysia khususnya kepada golongan B40 yang ingin membeli rumah pertama dengan kaedah P2P. P2P adalah suatu mekanisme di mana pembeli perlu mengeluarkan 20% daripada harga rumah dan bakinya iaitu 80% akan disumbang oleh pelabur. Pembeli tidak perlu untuk membayar ansuran bulanan dan boleh membuat pembiayaan semula pada akhir 5 tahun berdasarkan harga semasa. Pada waktu ini, rumah akan dinilai pada penilaian semasa dan pelabur boleh mendapat keuntungan atas modal berikutan daripada kenaikan harga rumah. Walaubagaimanapun, jika harga rumah tidak meningkat dan mengalami penurunan, pembeli perlu menanggung kerugian 20% pertama. Manakala kerugian seterusnya ditanggung oleh pelabur. Menurut penilaian saya, konsep yang diguna pakai adalah berdasarkan konsep musyarakah (perkongsian) yang berasaskan perkongsian untung dan rugi. Ianya dapat membantu golongan yang tidak layak mendapat pembiayaan perbankan atas sebab sebab nisbah hutang (dsr) yang sudah tinggi menyebabkan permohonan mereka ditolak oleh bank komersial. Langkah yang diambil ini, mempunyai beberapa implikasi kepada pembeli, pelabur dan industri hartanah secara amnya.   Isu-isu yang dikenal pasti dalam melaksanakan P2P adalahIsu-isu yang dikenal pasti dalam melaksanakan P2P adalah : a) Harga rumah akan meningkat pada akhir tahun kelima dan ini akan menyebabkan pembeli terpaksa membayar ansuran selepas pembiayaan semula dengan ansuran bulanan yang tinggi. Walaubagaimanapun, jika kenaikan pendapatan adalah lebih tinggi dari kenaikan kos sara hidup, maka kenaikan pendapatan pembeli tersebut boleh menampung ansuran bulanan yang tinggi, jika sebaliknya, pembeli akan mengalami masalah membuat pembiayaan semula dan mungkin perlu melepaskan bahagiannya kepada [...]

Go to Top