Februari 2024
Lawatan ke Selatan Thailand, harapan HEPA kembangkan pembangunan sahsiah pelajar USIM
THAILAND – Sejumlah 8 orang delegasi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang diketuai oleh Prof. Dato’ Dr. Adnan Mohamed Yusoff, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) telah mengadakan lawatan di beberapa universiti di Selatan Thailand termasuklah Prince Songkla Universiti, Fatoni Universiti dan Yala Rajabhat Universiti pada 14 hingga 18 Februari 2024. Turut menyertai lawatan tersebut ialah Dato’ Muhammad Haizuan Rozali, Pendaftar USIM. Prof. Dato’ Dr. Adnan Mohamed Yusoff berkata lawatan yang direncanakan oleh Pejabat Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) dengan kerjasama Pusat Hal Ehwal Pelajar dan Pejabat Pendaftar adalah untuk membuka ruang kerjasama baharu bukan sahaja dalam aspek pembangunan sahsiah pelajar malah dalam pelbagai ruang lain seperti akademik dan sukan untuk mengembangkan ilmu pengetahuan pelajar USIM khususnya melalui pengalaman di luar negara. Delegasi USIM telah berpeluang berjumpa dengan Pengurusan setiap universiti dan membincangkan hala tuju kerjasama dalam pelaksanaan program kesukarelawanan Global Islamic Students Outreach (GISO), pertukaran budaya dan sukan. Selain itu, perbincangan tersebut turut menyentuh tentang kerjasama dari segi pembangunan akademik meliputi pertukaran pelajar dan staf. Lebih menarik tentang lawatan tersebut apabila Prof. Dato’ Dr. Adnan Mohamed Yusoff berpeluang menyampaikan khutbah Jumaat di Yala Rajabhat Universiti. Turut dilawati adalah sebuah perkampungan di Narathiwat iaitu Ban Blukasnor yang bakal menjadi lokasi program GISO Perdana USIM pada bulan Ogos 2024 nanti. Prof. Dato’ Dr. Adnan Mohamed Yusoff berkata hasil daripada lawatan ini akan dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JKPU) dan akan dilaksanakan sepanjang tahun 2024 ini. “HEPA sangat komited dalam memastikan agenda pemerkasaan mahasiswa dapat dilaksanakan [...]
Naib Canselor USIM mengislamkan saudara baharu Jepun
OSAKA - “Gugur air mata apabila saya diberikan peluang dan penghormatan oleh Japan Dakwah Centre (JDC) di Osaka untuk mengislamkan dua orang saudara baharu yang telah melafazkan syahadah untuk memeluk agama Islam.” Itu lah kata-kata yang diucapkan oleh Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, Naib Canselor USIM atas peluang yang diberikan untuk mengislamkan 2 orang warga jepun iaitu Saudara Hajime Nasu dan Saudara Yusuke Hori. Dalam ciapan Facebook beliau, Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani berkata nilai universal budaya Jepun yang selari dengan nilai yang diterapkan Islam seperti saling menghormati, tolong-menolong, menjaga kebersihan, dan bersopan santun menjadi asas dalam memperkukuh dakwah Islam di Jepun. “Saya amat mengagumi inisiatif dan usaha Tuan Haji Zulkarnain Hasan Basri, Pengasas JDC serta Pengerusi Japan Muslim Foundation yang giat berdakwah dan memperkenalkan Islam melalui budaya Jepun di bumi Sakura ini,” ujarnya lagi. Dalam lawatan rasmi beliau ke Jepun pelbagai rundingan dan perbincangan lain antara USIM dengan JDC antaranya adalah penghantaran pelajar USIM untuk menjadi imam solat tarawih di JDC sepanjang bulan Ramadan, kajian agama dan budaya Jepun yang diberikan geran penyelidikan oleh JDC, program mobiliti pelajar dan latihan industri pelajar USIM di JDC Osaka. Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani turut berpeluang menyampaikan ceramah ringkas berkaitan makanan halal dalam talian secara langsung dari JDC, Osaka kepada komuniti Jepun yang ingin memahami Islam. Naib Canselor USIM juga berkesempatan bertemu dengan kumpulan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USIM Sesi Akademik 2022/2023 yang menjalani program GISO di Osaka dengan kerjasama Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Jepun [...]
Nombor pendaftaran kenderaan UQ, lambang identiti integrasi ilmu Naqli dan Aqli
NILAI– Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah melancarkan siri nombor pendaftaran "UQ" yang dibuka untuk bidaan mulai 20 Februari 2024 sehingga 29 Februari 2024 ini. Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh Naib Canselor USIM Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, bersempena Majlis Amanat beliau yang berlangsung baru-baru ini. Prof Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani berkata, pemilikan nombor pendaftaran USIM “UQ” menjadi simbolik dan mempunyai makna yang mendalam kepada “Universiti Quran” mengambil kira niche USIM yang membawa warganya mengamalkan integrasi ilmu Naqli dan Aqli. “Saya berharap agar pemilikan nombor pendaftaran “UQ” ini mendapat sokongan padu oleh semua masyarakat serta warga USIM termasuk alumni. Nombor pendaftaran ini sangat dekat di hati warga dan alumni USIM dalam memastikan perasaan “sense of belonging” kekal dalam diri”, katanya lagi. USIM melalui anak syarikat USIM Tijarah Holdings Sdn Bhd telah menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) dengan Syarikat Aquatwo yang bertanggungjawab sepenuhnya dalam proses pemasaran, penjualan/bidaan, pengurusan kewangan, lantikan ejen pemasaran, promosi dan sistem jualan /bidaan nombor pendaftaran khas ini. Sesiapa yang berminat untuk mendapatkan nombor pendaftaran unik ini boleh melayari laman web www.uqplat.com.my untuk mengikuti perkembangan semasa dan membuat bidaan nombor pendaftaran UQ tersebut. Turut bersama-sama menyempurnakan pelancaran nombor pendaftaran UQ tersebut ialah Encik Ahmad Shukri Zulkifli, Ketua Pegawai Eksekutif USIM Tijarah Holdings Sdn. Bhd. Oleh: Adika Hakmi Ab Ghani
Bersedia ke peringkat global: USIM terus memacu kecemerlangan
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bertekad untuk mengukuhkan reputasi institusi di peringkat global tanpa melupakan asal-usul penubuhannya. Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, Naib Canselor USIM, pada Majlis Amanat beliau yang berlangsung pada 20 Februari 2024 di Dewan Tuanku Canselor berkata USIM bersedia untuk menjadi Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) terkemuka dalam bidang sains Islam. Mengangkat tema 'Mengakar ke Bumi, Memacu Impian', Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani menekankan misi untuk menghasilkan individu yang berkualiti, bermaruah, dan berdaya saing tinggi, yang berakar pada nilai-nilai agama dan budaya, Beliau juga mahu nilai-nilai tersebut terus dihayati oleh komuniti USIM untuk memacu impian umat sejagat. ”Adalah penting bagi setiap individu dalam universiti ini untuk memahami peranan mereka dalam merealisasikan aspirasi dan amanah penubuhan kampus ini. USIM diterajui oleh prinsip pendidikan Islam yang tercermin daripada objektif penubuhan USIM”. “Pencapaian dan kelestarian USIM bergantung kepada kualiti pelajar dan alumni yang memegang teguh nilai objektif penubuhannya. Dengan nilai teras seperti Amanah, Muafakat, Profesional, Efisien, dan Global, USIM menetapkan standard yang tinggi dalam proses pembelajaran dan penghasilan ilmu,” tambah beliau. Pada majlis Amanat tersebut Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani menggariskan Perancangan USIM 2013-2025 melalui tujuh (7) teras utama yang menjadi landasan pembangunan USIM bersandarkan kepada empat (4) fokus utama bagi memacu pelan strategik termasuk penekanan pada keterlihatan institusi, kelestarian kewangan, kebajikan, dan penglibatan komuniti. Hala tuju tersebut turut dijajarkan kepada lima (5) fokus utama yang memberi penekanan kepada Bakat Terbaik dan Talent Fluidity; Ekosistem Penyelidikan dan Inovasi yang Kondusif; Pemindahan Ilmu kepada Komuniti; Pengantarabangsaan [...]
USIM, UNP perkukuh kerjasama akademik, penyelidikan dan latihan
INDONESIA - Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universitas Negeri Padang (UNP) telah dilaksanakan semalam, 21 Februari 2024 bertempat di UNP, Indonesia. Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) USIM telah diamanahkan mewakili pengurusan universiti bagi menjayakan MoU ini berikutan program latihan untuk staf dan pelajar UNP telah dirancang awal sempena Program Pengantarabangsaan AKRAB Go Asean@Padang, Indonesia pada 19 hingga 24 Februari 2024. Rektor UNP, Profesor Dr. Ganefri menandatangani dokumen MoU yang telah ditandatangani lebih awal oleh Naib Canselor USIM. Dalam ucapan aluan oleh Rektor UNP, beliau berharap dengan pemeteraian MoU ini akan menjalinkan lebih banyak kerjasama antara UNP dan USIM khususnya dalam aspek akademik, penyelidikan serta latihan staf dan pelajar. Profesor Dr. Ganefri juga turut mencadangkan satu penyelidikan bersama USIM tentang Sejarah Sumatera Barat dan Negeri Sembilan mengambil kira susur galur penduduk Negeri Sembilan datangnya dari Bukit Tinggi, Paya Kumbuh, Minangkabau dan Padang, Sumatera Barat. Semoga dengan hubungan strategik ini dapat menjalin kerjasama baik dalam semua aspek pengurusan untuk staf dan pelajar kedua-dua universiti.
Lonjakan Berani USIM Buka Langkah Dalam Industri Ternakan
NILAI - Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) membuka era baharu dalam industri penternakan kambing melalui Kursus Penternakan Kambing: ‘USIM Breeder’ di bawah penyeliaan Pusat Keusahawanan Universiti (PKUU). Kandang yang menempatkan lebih 60 ekor kambing ini dibina dengan keluasan 1 hektar berdekatan Fakulti Sains dan Teknologi (FST) USIM. Menurut Pengarah PKUU Prof Madya Ts. Dr. Sundresan Perumal berkata, projek ini turut mendapat kerjasama dari Kementerian Pendidikan Tinggi, Jabatan Pertanian Negeri Sembilan, Jabatan Verterinar serta syarikat alumni USIM iaitu Ghonami Global Enterprise. Pelaksanaan projek ini telah bermula pada Ogos 2023 dan dijangka berakhir pada penghujung Julai 2024. Antara matlamat projek ini adalah untuk memperkasakan kemahiran dalam bidang penternakan dalam kalangan pelajar serta mendorong mereka menjana pendapatan sendiri. Ia juga bertujuan menyokong industri penternakan kambing dengan menyediakan pusat latihan dan kemahiran ternakan menggunakan teknologi RFID Tagging dan Precision Breeding. Selain itu, projek ini turut mengetengahkan kepakaran dalaman USIM dalam pelaksanaan Modul Pengurusan Daging Halal. “Menariknya tentang projek ini, kami mempraktikkan konsep ‘zero waste farming’ iaitu air sisa buangan kambing ini akan diguna semula untuk siraman rumput yang ditanam khas sebagai makanan kepada kambing ternakan ini”. “Seramai 80 pelajar yang mengikuti kursus ini akan menjalani latihan berdasarkan 6 modul yang disediakan iaitu Modul Pengenalan dan Aspek Ekonomi Ternakan Kambing; Modul Pengurusan Pemakanan Kambing dan Peralatan; Modul Pemilihan Kambing dan Pengurusan Kesihatan; Modul Pembiakan Kambing dan Pengurusan Gerompok; Modul Pemasaran Kambing dan Kawalan Perniagaan, dan Modul Pengurusan Daging Kambing Halal”. Ujarnya lagi, kambing ini merupakan kacukan baka Dorper dengan baka Santa Ines dan baka Barbados [...]
Lebih 300 Produk Inovasi Dari Asasi Dan Matrikulasi Seluruh Negara Sertai PIITRAM2024 di USIM
NILAI – Pusat Tamhidi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menjadi tuan rumah kepada penganjuran Pertandingan Inovasi Inter-Asasi Matrikulasi atau dikenali sebagai Pre-University Matriculation Innovation Competition 2024 (PIITRAM 2024) yang berlangsung selama dua hari bermula esok, Jumaat hingga Sabtu. Merupakan pertandingan inovasi di peringkat kebangsaan yang melibatkan penglibatan Asasi Universiti Awam dan Matrikulasi seluruh negara, program di bawah naungan Majlis Dekan/Pengarah Asasi Universiti Awam yang mula dianjurkan secara tahunan pada 2021 ini telah menyaksikan peningkatan penyertaan inovasi dari tahun ke tahun. Diadakan bertempat di Dewan Tuanku Canselor, sebanyak 342 produk inovasi telah disahkan menyertai pertandingan PIITRAM kali ini yang terdiri dari 224 penyertaan dari Asasi Universiti Awam, 113 Kolej Matrikulasi dan 5 Politeknik (Asasi TVET). PIITRAM2024 merupakan platform terbaik bagi pempamer produk inovasi mengembangkan bakat pelajar asasi dan matrikulasi dalam menghasilkan reka cipta yang berteraskan pendekatan interdisiplin dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Kesenian dan Matematik (STEAM) sejajar dengan transformasi pendidikan kebangsaan bagi melahirkan modal insan yang sangat mahir dan inovatif. Menurut Pengarah Program PIITRAM2024, Mohamad Hazwan Abdul Rahman, PIITRAM menjadi satu wadah yang terbaik untuk menimba ilmu, menyebarluaskan pengalaman dan memantapkan kreativiti, serta menjadikan inovasi sebagai tunjang pendidikan khasnya dalam bidang berteraskan STEAM. “Ini sejajar dengan transformasi pendidikan kebangsaan semasa dan kewujudkan platfom PIITRAM ini sebenarnya turut mampu menyuntik motivasi dan menambah minat para pelajar asasi dan matrikulasi untuk terus menceburi bidang STEAM pada masa akan datang. Harapan kita pertandingan PIITRAM ini terus unggul dalam membudayakan inovasi dalam kalangan warga Pusat Asasi Universiti Awam dan Matrikulasi di Malaysia” ujarnya. Melalui PIITRAM2024, [...]
Pembahas Tamhidi Rangkul Naib Johan Debat Antara Asasi
TERENGGANU - Pendebat Bahasa Melayu Pusat Tamhidi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menunjukkan prestasi cemerlang apabila berjaya ke Pertandingan Akhir Debat Antara Asasi (PeDAA) 2024 yang berlangsung di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) pada semalam (Ahad). Pendebat USIM terdiri daripada Nur Aina Husna Mohd Yahya dan Rabiatul Adawiyah Razali dari Tamhidi Syariah dan Undang-undang manakala Mohd Irfan Shukor dan Ilmi Haekal Mohd Hizam Fakhruddin dari Tamhidi Perubatan, Pergigian dan Sains. Sebelum mara ke pentas akhir, USIM terlebih dahulu berjaya menempatkan diri sebagai lapan pasukan terbaik dari 24 buah asasi dan matrikulasi di peringkat pusingan (liga). Di peringkat suku akhir, USIM menewaskan pasukan bahas dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dan seterusnya menidakkan kemaraan pasukan bahas dari Universiti Utara Malaysia (UUM) di peringkat separuh akhir. Membahaskan usul “Jurang Ekonomi Bukan Jurang Perpaduan” di peringkat akhir sebagai pihak pembangkang bertemu Universiti Malaya (UM) sebagai kerajaan, sesi perdebatan yang sengit akhirnya menobatkan UM sebagai johan dan USIM sebagai naib johan dengan juri 3-2 dan margin kecil 1.67. Pertandingan akhir yang berlangsung di Auditorium Muhyidin UMT disempurnakan oleh Naib Canselor UMT, Profesor Dato’ Dr. Abdul Ghaffar. Turut hadir adalah Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr Hazami Jahari; Pengerusi Majlis Dekan/Pengarah Asasi Universiti Awam, Prof. Madya Dr. Laili Haji Che Ros; dan Pengerusi Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM), Prof. Sr. Ts. Dr. Hj. Lokman Hakim Hj Ismail. Saudari Nur Aina Husna Mohd Yahya turut membanggakan USIM apabila tersenarai dalam kelompok 10 pendebat terbaik keseluruhan dalam pertandingan ini. Selaku naib johan, pendebat USIM membawa pulang hadiah berupa [...]
Kuasa Perundangan Dalam Konteks Undang-Undang Jenayah Syariah Diperhalusi Agar Tidak Wujud Kelompangan
Mahkamah Persekutuan dalam kes Nik Elin Zurina dan Kerajaan Negeri Kelantan baru-baru ini dengan keputusan majoriti 8-1 telah membenarkan permohonan pempetisyen dan mengisytiharkan 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Syariah Jenayah (I) 2019 Negeri Kelantan adalah batal dan tidak sah atas alasan Badan Perundangan Negeri Kelantan tidak mempunyai kuasa untuk membuat peruntukan-peruntukan tersebut. Berdasarkan penghakiman Mahkamah Persekutuan, inti pati 16 peruntukan tersebut adalah berkenaan perkara di bawah Senarai Persekutuan, iaitu di bawah kuasa perundangan Parlimen. Manakala dua lagi peruntukan yang turut dicabar iaitu seksyen 13 dan seksyen 30 di bawah Enakmen yang sama diputuskan sebagai sah kerana kedua-dua peruntukan tersebut adalah berkaitan perkara di bawah kuasa Badan Perundangan Negeri Kelantan. Dengan keputusan Mahkamah Persekutuan ini, Badan Perundangan Negeri Kelantan tidak lagi mempunyai kuasa perundangan untuk menggubal undang-undang jenayah Syariah berkaitan kesalahan-kesalahan tersebut. Keputusan ini turut mendatangkan implikasi terhadap penguatkuasaan dan pendakwaan berkaitan 16 peruntukan tersebut oleh pihak berkuasa Negeri Kelantan. Ini juga membawa kepada kemungkinan percubaan oleh mana-mana pihak yang didakwa dengan peruntukan yang sama atau hampir sama di bawah undang-undang jenayah Syariah di negeri-negeri lain untuk mencabar keabsahan peruntukan-peruntukan tersebut pada masa akan datang. Kes ini juga menunjukkan terdapatnya pertindihan undang-undang jenayah di bawah undang-undang jenayah Syariah Negeri dan undang-undang Persekutuan berkaitan kesalahan-kesalahan tertentu. Secara dasarnya, Malaysia, sebagai sebuah negara yang mengamalkan konsep federalisme, menetapkan pembahagian kuasa perundangan dan eksekutif antara Parlimen/Kerajaan Persekutuan dan Badan Perundangan Negeri/Kerajaan Negeri seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, iaitu undang-undang utama di negara ini. Perkara 74 Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan [...]
Strategi Persediaan Hadapi Peperiksaan Yang Berkesan
Peperiksaan merupakan cabaran yang signifikan dalam hidup mahasiswa dan seringkali menjadi sumber stress dan tekanan. Sebagai mahasiswa, kita perlu bersedia dengan beberapa strategi penting untuk membantu mengawal emosi dan fizikal. Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) beranggapan bahawa perlunya perancangan 5S bagi menghadapi peperiksaan akhir yang bakal menjelang bermula 29 Januari 2024. Siap awal atau persiapan awal Mahasiswa USIM sangat disarankan untuk membuat persediaan dengan mengulangkaji lebih awal supaya lebih mudah dan efisien untuk mendapatkan rujukan dan maklumat yang cukup untuk dibawa ke dalam peperiksaan. Hal ini juga membantu dalam mendisiplinkan diri mahasiswa dengan pengurusan waktu bagi mengelakkan sebarang tekanan menghadapi peperiksaan. Pengurusan Stress Strategi yang kedua adalah urus stress. Mahasiswa perlu mengambil cakna tentang kesejahteraan fizikal dan mental. Hal ini adalah kerana pengukuhan dari segi rohani dan jasmani memainkan peranan penting dalam keupayaan seseorang untuk menghadapi peperiksaan. Pastikan mendapat tidur yang cukup dan melakukan aktiviti rekreasi untuk mengurangkan tekanan. Selalu berdoa Berdoa merupakan amalan yang mendalam dan memberi ketenangan kepada pelajar. Dalam detik-detik tegang menjelang ujian, berdoa menjadi sumber kekuatan spiritual yang dapat memberikan ketenangan dan keyakinan. Memohon petunjuk daripada Yang Maha Esa agar diberikan kebijaksanaan, kefahaman, dan ketenangan hati. Dalam berdoa, mahasiswa menyelusuri sepanjang perjalanan pembelajaran mereka, memohon perlindungan, kekuatan, dan keberkatan. Mahasiswa juga dapat membangun ikatan spiritual yang kuat dan meyakini bahawa usaha serta doa mereka akan memberikan hasil yang terbaik dalam peperiksaan. Sihat Menjaga kesihatan secara holistik adalah kunci keberjayaan dalam menghadapi peperiksaan. Selain daripada menumpukan kepada persediaan [...]









