Faces of USIM2016-10-20T08:52:39+08:00

Jun 2020

Usah Tinggalkan Bekalan Norma Baharu selepas PKPB Berakhir

Selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) secara rasmi melaporkan kes positif COVID-19 pertama negara pada 25 Januari yang membabitkan tiga warga China yang masuk ke Malaysia melalui Johor dari Singapura, diam tak diam sudah hampir lima bulan kita ‘hidup’ bersama wabak ini. Bagaimana pandemik wabak COVID-19 merubah senario kehidupan sosial dan ekonomi di seluruh dunia termasuk Malaysia dalam masa yang singkat tidak perlu diperjelaskan lagi kerana semua orang dapat melihat dan merasai kesannya termasuk penulis. Selepas kes pertama dilaporkan, hari demi hari yang dilalui selepas itu makin mendebarkan rakyat Malaysia apabila KKM melaporkan kes-kes positif jangkitan makin bertambah dalam negara. Bermula dari satu angka bertukar ke dua angka dan seterusnya naik ke tiga angka jangkitan. Ia makin menambahkan ketakutan apabila kes kematian berpunca dari COVID-19 mula dilaporkan dan ketika ini rakyat Malaysia makin menyedari bahawa virus ini bukan biasa-biasa. Satu keputusan yang sukar tetapi perlu dibuat telah diambil Kerajaan apabila Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin pada 16 Mac membuat pengumuman secara langsung bahawa Kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac diseluruh negara. Keputusan ini ibarat ditelan mati emak, diluah pula mati bapa tetapi ini pilihan terbaik setelah semua aspek diberi pertimbangan dengan penuh kebijaksanaan oleh Kerajaan. Dapat dilihat polis dan tentera bersama-sama membuat sekatan jalan raya dan rondaan, pergerakan rakyat dibataskan, sektor ekonomi bukan dalam ‘essential services’ terhenti, aktiviti keagamaan di masjid dan rumah ibadat dilarang, manakala sekolah dan instiusi pengajian tinggi lengang tanpa pelajar. Atas keperluan untuk membendung dan memutuskan jangkitan [...]

Impak COVID-19 Terhadap Obligasi Perundangan Pelaburan Antarabangsa

Covid-19 telah membawa perubahan yang besar dalam sistem perindustrian dan perniagaan global. Semenjak perisytiharan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang mengkategorikan virus ini sebagai pandemik, banyak negara telah menganggap virus ini sebagai satu ancaman keselamatan negara dan telah mengambil tindakan drastik bagi membendung penularannya. Antara tindakan yang telah diambil ialah penetapan tempoh pergerakan terkawal pelbagai peringkat yang sudah tentu menjejaskan prestasi ekonomi perniagaan-perniagaan tempatan dan asing. Terdapat juga beberapa negara yang bertindak dengan lebih drastik mengambil alih atau memilik-negarakan hospital swasta seperti yang berlaku di Sepanyol,  menghadkan jumlah eksport topeng muka perubatan seperti di Perancis, dan juga bahan-bahan bekalan perubatan kritikal dan alat bantuan pernafasan seperti di Itali dan Taiwan. Kesan Covid-19 ini dijangka berpanjangan dan akan menyebabkan pengenalan polisi-polisi jangka panjang seperti pemberian bantuan atau insentif  kepada industri atau sektor tertentu terutamanya industri tempatan. Walaubagaimanapun, Malaysia sebagaimana negara-negara lain yang menjadi negara anggota ribuan perjanjian pelaburan antarabangsa (international investment agreement) samada secara dua hala (bilateral) atau selainnya, perlu berhati-hati dalam menetapkan kaedah kawalan, perundangan atau pemberian insentif tertentu supaya tidak menyebabkan pertikaian antarabangsa yang boleh dikemukakan oleh pelabur asing melalui perjanjian-perjanjian tersebut. Sehingga tahun 2019, sebanyak 2658 perjanjian pelaburan antarabangsa telah termeterai dan berkuatkuasa. Perjanjian-perjanjian ini menggariskan beberapa obligasi penting bagi memastikan negara anggota memberi perlindungan-perlindungan  asas (standard protections) kepada pelabur luar termasuklah jaminan pembayaran pampasan bagi rampasan (expropriation), layanan yang saksama dan adil (fair and equitable treatment), jaminan penuh perlindungan dan keselamatan (full protection and security) dan jaminan layanan tanpa diskriminasi samada sesama pelabur [...]

Viva Voce atas Talian di Arus Normal Baharu

Tahun 2020 menyaksikan kemunculan norma-norma baharu di dalam negara kita dari pelbagai aspek seperti penjanaan ekonomi, aktiviti-aktiviti sosial termasuk pengurusan pendidikan tinggi. Dengan adanya prosedur operasi standard (SOP) seperti larangan perhimpunan dan saranan penjarakan sosial, beberapa proses pengajian pelajar, khasnya pelajar siswazah, agak terkesan. Di dalam pengurusan pengajian siswazah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) tampil berani menjana norma-norma baharu untuk memastikan kelestarian pengajian pelajar siswazah di kampus USIM. Pelajar pasca siswazah lazimnya berbeza dengan pelajar ijazah pertama di mana kebanyakan pelajar siswazah terdiri daripada pelajar yang lebih matang, ada yang telah berada di alam pekerjaan, malah ada yang memegang jawatan yang tinggi di institusi dan jabatan masing-masing.   Sehubungan itu, pelajar siswazah lebih menekankan keupayaan sesebuah institusi pendidikan tinggi untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik di dalam memastikan kemelut virus Covid-19 yang sedang melanda dunia tidak memberikan kesan negatif terhadap pengajian mereka secara keseluruhan. Antara proses pengajian siswazah yang terkesan adalah proses viva voce atau pun sesi pembentangan akhir bagi pelajar Sarjana dan juga Doktor Falsafah untuk memastikan pelajar layak dianugerahkan ijazah. Lazimnya sesi viva voce dijalankan di dalam sebuah bilik khas yang melibatkan kehadiran sekurang-kurangnya 10 ahli panel yang terdiri daripada pengerusi, penyelia-penyelia pelajar, pemeriksa dalaman, pemeriksa-pemeriksa luaran, wakil fakulti, pelajar dan juga urusetia Pusat Pengajian Siswazah. Proses pembentangan ini akan berlangsung selama beberapa jam. Ini sudah tentu bercanggah dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) sekarang ini iaitu larangan perhimpunan di ruangan tertutup dan saranan penjarakan sosial. Peka dengan kepentingan untuk memastikan pengajian pelajar siswazah tidak terjejas, [...]

COVID19: Implikasi Pengajaran dan Pembelajaran Atas Talian

Pada Januari 2020, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan situasi pandemik akibat penularan sejenis virus baharu jenis Korona yang menyebabkan wabak COVID19. Selaras dengan pengisytiharan wabak ini, semua negara telah menutup semua sektor termasuklah sektor pendidikan. Langkah penutupan sektor pendidikan ini menyebabkan semua sekolah dan pusat pengajian tinggi ditutup bagi memutuskan rantaian penularan wabak yang berbahaya ini. Akibatnya,  proses pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka yang telah diamalkan sejak zaman dahulu lagi secara terpaksa dihentikan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Dalam usaha  untuk memastikan semua  murid tidak ketinggalan dalam mengikuti pembelajaran, warga pendidik mula menggunakan opsyen untuk menjalankan kelas secara atas talian. Pelbagai kegusaran yang timbul apabila ingin melaksanakan  kaedah pembelajaran secara atas talian ini.  Ada murid yang tidak mempunyai gajet atau telefon pintar peribadi, ada yang tidak mempunyai cukup data internet dan ada pula yang tidak mempunyai capaian internet langsung. Bagi pendidik pula, wujud kesangsian platform manakah yang sesuai untuk menjalankan  pembelajaran secara atas talian dan kebanyakannya menggunakan kaedah cuba jaya, iaitu menggunakan mana-mana platform dan lihat kepada kesesuaian. Tiga implikasi utama dilihat menjadi cabaran besar kepada pendidik bagi menjalankan pembelajaran secara atas talian, iaitu kebolehcapaian internet dan kestabilan platform pengajaran, pengurusan emosi serta pentaksiran secara holistik. Kebolehcapaian internet menjadi salah satu perkara penting dalam mengendalikan kelas atas talian. Usaha mengenalpasti tahap kebolehcapaian internet bagi setiap murid di dalam kelas dapat membantu guru dalam menentukan kaedah bersesuaian bagi membolehkan kelas atas talian dapat dijalankan dengan baik. Namun begitu, beberapa kekangan wujud terutamanya bagi murid [...]

Suasana Aidilfitri dikala PKP disambut sederhana  dengan langkah keselamatan yang rapi

NILAI, 1 Jun 2020 - Menyambut Hari Raya selepas sehari tamat tempoh kuarantin Covid-19 merupakan pengalaman yang tidak akan dilupakan buat Mohd Shafwan Eiqhmal Saperdin yang merupakan salah seorang pelajar berasal dari Ranau yang terkandas di kampus USIM bermula 18 Mac kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). ”Saya dan rakan-rakan lain yang tinggal di Sabah majoritinya memilih untuk kuarantin diri selepas pulang dari Semenanjung Malaysia di pusat kuarantin di telah ditetapkan iaitu di Asrama Linawa, Kompleks Sukan Ranau. Apabila kami sudah disahkan negatif melalui ujian swab yang telah dijalankan, kami diberikan kebenaran untuk menyambung baki kuarantin di rumah masing-masing dengan diberikan gelang khas dari Pejabat Kesihatan”. ”Walaupun tidak boleh untuk keluar balik ke kampung di dalam kawasan daerah yang sama dan hanya menyambut Aidilfitri di rumah sendiri sahaja, namun itu bukanlah alasan untuk menjadikan suasana Aidilfitri ’hilang serinya’. Beliau masih memakai baju melayu, membersih dan menghias rumah dengan perhiasan raya walaupun beraya di dalam rumah sahaja”, ujar shafwan yang merupakan pelajar Tahun Pertama Pengajian Quran dan Sunnah. Bagi Nusaibah Azhar pelajar Tahun Kedua Pengajian Bahasa Arab dan Komunikasi pula, sambutan kali ini sama dan tiada beza dari tahun sebelumnya. Mereka beraya di rumah nenek yang berada di daerah yang sama dengan mematuhi norma baharu iaitu memakai penutup muka, menjaga jarak, dan menggunakan hand sanitizer. Beliau juga hanya menggunakan teknologi panggilan secara maya atau video call bersama saudara yang lain dan sahabat handai untuk melepaskan rindu dan dapat melihat wajah mereka sudah memadai baginya. Bagi alumni USIM yang menyambut aidilfitri di [...]

Mei 2020

Pembelajaran dalam talian sebagai norma baharu

Selamat hari guru kepada semua warga pendidik walau di mana sekalipun baktimu disumbang. Setiap tahun pada tanggal 16 Mei merupakan hari sambutan untuk guru-guru bagi mengingati dan menghargai pengorbanan guru dalam mendidik. Sehubungan itu, tahun ini tema untuk sambutan Hari Guru tahun 2020 adalah “Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu”. Mengupas akan tema ini, ingin sekali dikaitkan dengan suasana pendidikan era norma baharu pada tahun ini di kala wabak COVID-19 menyerang. Wabak yang telah meragut ratusan ribu nyawa di seluruh dunia ini secara langsung telah menimbulkan suasana tidak tenteram dalam kalangan masyarakat. Justeru di Malaysia, untuk membendung penularan wabak ini kerajaan telah mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula dari 18 Mac 2020. Selama hampir dua bulan PKP berlangsung, rakyat di negara ini terpaksa menukar rutin harian apabila hampir semua rakyat tidak dibenarkan pergi ke pejabat untuk bekerja dan pelajar-pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi juga tidak dapat menimba ilmu secara bersemuka dengan guru-guru dan pendidik mereka. Semuanya harus dilakukan di rumah, perlu bekerja dan belajar dari rumah. PKP berlanjutan ke PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) yang bemula pada 4 Mei 2020. Walaupun beberapa prosedur operasi standard (SOP) dilonggarkan semasa PKPB, namun untuk pelajar-pelajar, belajar di sekolah mahupun di pusat pengajian masih tidak dibenarkan oleh kerajaan. Maka, pembelajaran dalam talian terus berlangsung bagi menggantikan pertemuan bersemuka. Proses ini nampak mudah, namun cabaran mendidik tetap ada, bukan sahaja untuk guru, para pelajar, malah dalam kalangan ibubapa. Namun, demi membina generasi baharu yang berilmu segala cabaran ini tetap [...]

Jalan Cerita Menarik, ‘Raya Online’ USIM Cecah 50,000 Tontonan

NILAI, 21 Mei 2020 – Berdepan dengan pandemik wabak COVID-19 dan kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak mematahkan semangat sekumpulan siswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) untuk menerbitkan iklan Hari Raya USIM 2020 Raya Online’ sempena menyambut 1 Syawal nanti. Dihasilkan dan terbitkan dengan kerjasama Pusat Komunikasi Strategik (Stracomm), iklan berkenaan telah mula ditayangkan secara rasmi di saluran YouTube USIMTV dan Facebook USIM pada 15 Mei (Khamis) lalu. Ternyata tradisi USIM yang menerbitkan iklan hari raya saban tahun sejak 2013 dengan mengangkat pelbagai tema dan kisah membuatkan iklan raya terbitan USIM mempunyai kelompok peminat tersendiri yang menantikan tayangannya menjelang Aidilfitri. Dalam masa yang singkat selepas lima hari ditayangkan hingga semalam (Rabu), ‘Raya Online’ telah mencapai 30,000 tontonan di saluran USIMTV dan mendapat lebih 22,000 tontonan serta 400 perkongsian di Facebook USIM. Menurut Farhan Halim, penuntut Sarjana Muda Komunikasi, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan USIM yang bertindak selaku pengarah iklan ‘Raya Online’, keseluruhan konsep jalan cerita dan skrip asal yang telah dirancang terpaksa diubah kesemuanya pada saat akhir apabila Kerajaan menguatkuasakan PKP pada 18 Mac lalu bagi mengekang penularan COVID-19 diseluruh negara. “Krew produksi iklan terdiri daripada sembilan orang pelajar USIM dari pelbagai fakulti dan sebahagian besar daripada kami terkandas di kampung, tidak dapat pulang semula ke kampus untuk meneruskan kerja-kerja penggambaran. Melihat tempoh PKP terus bersambung dan kekangan untuk meneruskan rakaman di lapangan, kami dapat idea hasilkan jalan cerita baharu berdasarkan situasi pelajar universiti yang terkandas di kampus dan berkemungkinan tidak dapat pulang beraya”. ujarnya Bagi penulis skrip dan turut berlakon [...]

Sabar dalam Musibah COVID-19

Wabak Covid-19 yang melanda dunia pada hari ini adalah suatu ujian besar bagi manusia sejagat. Ini kerana, virus COVID-19 ini adalah suatu pandemik yang menakutkan. Beratus ribu kematian dilaporkan akibat daripada serangan wabak ini di serata dunia, bahkan di negara-negara maju yang mempunyai peralatan kesihatan dan saringan yang serba canggih. Ini juga sebagai suatu petanda bahawa wabak ini tidak mengira bangsa, kulit rupa mahupun status ekonomi. Apa yang berlaku di Malaysia juga tidak kurang getirnya. Pelbagai usaha dilakukan terutamanya bagi golongan barisan hadapan yang tidak jemu untuk memastikan wabak ini disaring dan diputuskan rangkaian demi rangkaian. Seperti beberapa negara lain, Malaysia juga menyahut seruan untuk duduk di rumah atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk membantu menyekat penularan wabak ini. Secara kesimpulannya, seluruh sistem kehidupan manusia berubah secara mendadak daripada aspek keagamaan, sosial, ekonomi, hubungan dalam dan luar negara, budaya dan lain-lain. Norma kebiasaan hidup harian setiap individu juga terkesan dan terhenti seketika. Sebagai umat Islam, seharusnya kita mengambil pengajaran dan hikmah daripada musibah COVID-19 ini. Dalam kata lain, setiap yang berlaku dalam kehidupan bagi orang yang beriman, sarat dengan hikmah dan bukanlah sia-sia. Amat merugikan jika seorang Muslim hanya beranggapan bahawa virus COVID-19 ini adalah jangkitan penyakit semata-mata. Bahkan, yang lebih utama ialah Allah memperlihatkan kepada manusia bahawa Dialah yang mempunyai kuasa untuk menghidupkan sesuatu, mencipta, mematikan dan melenyapkan. Manusia pula, yang berusaha sedaya upaya untuk mengelak daripada wabak ini sebenarnya lemah dan tidak berupaya melainkan berusaha dan berterusan memohon doa kepadaNya. Kesabaran dalam doa [...]

Pandemik Covid-19 dan Perancangan Keluarga: Apakah kaitannya?

Pandemik COVID-19 dan Perancangan Keluarga: Apakah kaitannya?   Berikutan musim pandemik coronavirus disease 2019 (COVID-19) dan perintah kawalan pergerakan (PKP), kita lihat terdapat pelbagai berita yang tular di aplikasi atas talian, seperti Facebook mahupun WhatsApp. Adakalanya berita yang diwarwarkan itu tidak diketahui kesahihannya dan ditular sebagai berita palsu. Namun begitu, saya cukup terpanggil dengan satu mesej yang tular yang mengaitkan para isteri dengan PKP. Mesej ini menjangkakan bahawa ramai para isteri yang akan melahirkan anak 9 bulan dari bermulanya PKP, oleh kerana suami dan isteri ‘duduk di rumah’ selama paling kurang 2 bulan. Mesej tersebut mungkin berbaur jenaka ataupun hiburan, tetapi pada hemat saya, ianya tidak boleh dipandang ringan. Timbul persoalan di minda saya. Adakah para suami isteri memandang isu merancang keluarga dengan lebih serius dikala ini? Ataupun ianya masih dipandang enteng? Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) telah menjalankan kajian pada 2014 dan mendapati hanya 52.2 peratus wanita di Malaysia mengamalkan kaedah merancang. Sebanyak 34 peratus wanita menggunakan kaedah moden manakala 18 peratus menggunakan kaedah semula jadi. Menurut kajian yang lain oleh M. Mansor pada tahun 2015, hanya 53.9% peratus wanita di Selangor menggunakan kaedah merancang. Jumlah ini juga lebih banyak berbanding dengan amalan merancang oleh wanita di kawasan luar bandar. Jabatan Statistik Malaysia menganggarkan pada tahun 2040, jumlah penduduk Malaysia akan meningkat ke 41.5 juta. Kadar peningkatan populasi penduduk yang tidak terkawal akan menjurus kepada isu sosial, seperti wujudnya jurang ekonomi yang besar, serta akses kepada rawatan kesihatan dan peluang belajar yang [...]

Rumah Tertutup Aidilfitri tak Putuskan Silaturrahim

Umat Islam kini sudah memasuki minggu ketiga mengerjakan ibadah berpuasa di bulan Ramadan dan secara norma biasa sebelum ini, pada minggu ini sudah masuk tempoh puncak untuk persiapan menyambut 1 Syawal. Sebelum memasuki 1 Ramadan dahulu, semua mula terfikir dan gelisah bagaimana agaknya menempuh Ramadan dengan norma baharu, misalnya tiada lagi bazar Ramadan sedangkan itulah aktiviti wajib setiap petang untuk membeli pelbagai juadah berbuka puasa. Kita juga membayangkan tiada lagi majlis berbuka puasa beramai-ramai di masjid atau hotel kerana pada waktu ini juga dijadikan kesempatan untuk syarikat korporat dan para dermawan menyampaikan sumbangan kepada insan-insan yang memerlukan. Malah tidak terbayang juga bagaimana rasanya tiada solat tarawih di masjid dan surau sedangkan dari kecil sudah di didik keluarga inilah ibadah solat sunat yang istimewa kerana hanya boleh ditunaikan ketika bulan Ramadan sahaja. Usai tarwaih dijamu pula dengan jamuan moreh, aktiviti tadarus Al-Quran dan qiamulail. Tetapi kini segala gelohak kerisauan yang dibayangkan itu sudah menemui jawapan, nampaknya semua sudah dapat membiasakan diri dengan Ramadan norma baharu. Bazar Ramadan sudah bertukar menjadi bazar online, pilih menu di telefon pintar dan sebelum Maghrib juadah siap dihantar ke depan pintu rumah. Malah dengan kebanyakan ahli keluarga ada dirumah kerana mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ada yang meluangkan masa bersama-sama menyediakan pelbagai juadah berbuka dengan air tangan sendiri dan pada malamnya satu keluarga menunaikan solat sunat tarawih di rumah sahaja. Sesuatu yang pada awalnya dulu difikirkan janggal, tetapi kini semua dapat mengadaptasi suasana baharu ini sepanjang Ramadan. Atas sebab itu penulis [...]

Go to Top