PADANG, 13 Ogos 2018 – Seramai 18 orang ahli persatuan Future Muslim Leader (FML) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bersama seorang pegawai pengiring telah melaksanakan Lawatan Antarabangsa ke Padang, Indonesia selama 7 hari bermula dari 13 Ogos 2018.

Mengangkat kepimpinan sebagai tema utama program tersebut, FML telah berkongsikan teori kepimpinan QALB yang diasaskan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah USIM, Profesor Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak kepada mahasiswa Universitas Negeri Padang (UNP) dalam bentuk simposium.

Secara dasarnya, kepimpinan QALB ialah kepimpinan yang berteraskan kepada hati sebagai elemen utama dalam kepimpinan. Hanya dengan memiliki hati yang benar-benar beriman dan yakin kepada Allah, akan menjadikan seseorang pemimpin itu mempunyai sifat-sifat kepimpinan yang terpuji dan berkekalan.

Menurut Penyelaras Kelab FML USIM, Dr. Amin Al Hadi dalam ucapannya di UNP, “teori kepimpinan QALB ini berpotensi untuk menjadi kunci kepada masalah-masalah sosial yang berlaku dasawarsa ini.”

“Boleh dikatakan hampir tidak ada teori di dunia ini yang menekankan tentang peri pentingnya peranan hati dalam sesebuah kepimpinan. Walaubagaimanapun, teori ini bukanlah pemulanya dan ia telah dibuktikan berjaya kerana Nabi Muhammad S.A.W juga memimpin umat manusia dengan menekankan peri pentingnya peranan hati.”

Perkongsian yang melibatkan lebih 20 orang mahasiswa UNP ini telah berlangsung sepanjang dua hari dan mendapat maklum balas yang amat positif daripada para peserta.

Selain daripada penganjuran simposium kepimpinan, ahli FML juga turut berkesempatan untuk mendaki Gunung Marapi yang mempunyai ketinggian setinggi 2891 meter daripada paras laut.

Pendakian selama lebih kurang 10 jam diperlukan untuk sampai ke puncak Gunung Marapi. Walaupun dikhabarkan oleh penduduk di sana bahawa terdapat beberapa kes kematian di puncak gunung kerana kesejukan melampau, semangat membara kesemua 17 orang ahli FML tetap tidak luntur dan apa yang lebih membanggakan, kesemua ahli berjaya sampai ke puncak gunung walaupun ada di antara mereka yang sakit dan mengalami mabuk gunung semasa pendakian.

Selain pemandangan indah melihat matahari terbit di puncak gunung, banyak ilmu kehidupan dan kepimpinan yang dapat dipelajari sepanjang pendakian. Angin kuat dan cuaca teramat sejuk ketika berada di puncak itu dapat diibaratkan seperti halangan yang semakin besar dan agresif apabila kita berada di puncak kejayaan kehidupan. Apa yang perlu kita lakukan adalah bersabar dan terus melangkah.

Begitu juga dengan perjalanan sepanjang pendakian. Dalam kehidupan seharian kita, ada yang terlalu ghairah untuk sampai ke puncak sehingga melupakan kecantikan sepanjang perjalanan. Begitulah juga ibaratnya dengan kehidupan kita. Janganlah terlalu sibuk mencapai apa yang kita mahukan sehingga megabaikan orang lain dan kecantikan persekitaran.

Memetik kata-kata daripada aktivis mahasiswa Indonesia, Soe Hok Gie, “kita tidak akan pernah mampu menaklukkan gunung, kerana bukan gununglah yang kita taklukkan, melainkan diri kita sendiri.” Antara mahu atau tidak, jawapannya terletak pada diri kita sendiri. Gunung yang awalnya kelihatan tidak mungkin di minda, sebenarnya mampu apabila kita memulakan langkah pertama dan seterusnya. Semoga perjalanan ini memberi 1001 kebaikan dan manfaat kepada semua dan dapat diteruskan lagi pada masa yang akan datang.

 

Disediakan oleh:

Raudhah Nurdin Muhammad
Tahun 3, Sarjana Muda Pengajian Bahasa Arab dan Komunikasi
Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia