Dr Kamilin Jamilin
Dr Kamilin JamilinPensyarah Kanan Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah

Sekadar pemerhatian, saya masih belum mendapati mana-mana institusi pengajian agama di Malaysia baik moden mahupun tradisional yang mampu mewujudkan suasana kondusif bagi pelajar untuk berbahasa arab. Walaupun institusi tersebut menawarkan pelbagai subjek berbahasa arab, namun rata-rata pelajarnya masih berbahasa melayu baik di dalam kelas mahupun di luar.

Saya melihat ini antara punca utama mengapa pelajar agama di Malaysia tidak cukup baik kemahiran bahasa arabnya baik dari sudut perturturan atau pendengaran. Mungkin sebahagian mereka terutamanya di pusat pengajian tradisional mampu menguasai asas tatabahasa arab secara teori seperti Nahu, Saraf, atau Balaghah dengan agak baik, namun apabila mereka ke peringkat lebih tinggi yang memerlukan pendedahan lebih meluas, ramai yang terkandas.

Misalnya apabila mereka ke universiti yang menawarkan bahasa arab sebagai perantaranya terutamanya universiti di Timur Tengah baik Mesir, Arab Saudi, Jordan, Moroko dan seumpamanya, mereka seakan tidak bersedia.

Kejutan Budaya Pegajian

Pengalaman saya juga menyaksikan ramai sahabat yang pernah menghabiskan 3 tahun diploma mereka di institusi ternama negara  seperti Darul Quran yang belum cukup bersedia apabila menyambung pengajian mereka di negara arab. Bukan kerana sistem pengajiannya tidak bagus, tetapi kerana institusi dan pelajarnya masih tidak mampu mewujudkan biah (suasana) arab yang baik sebagai persediaan.

Sebahagian mereka menyangka mereka sudah mampu ke kuliah atau sudah cukup bersedia menempuh alam baru, kerana tempoh lama yang mereka telah habiskan sebelum ini bergelumang dengan pelbagai subjek bahasa arab, lalu mereka terus tergesa-gesa masuk ke kuliah tanpa melalui pusat bahasa yang disediakan oleh sebahagian universiti.

Ada sebahagian universiti yang mewajibkan pelajar luar untuk masuk ke pusat bahasa mereka terlebih dahulu setahun dua seperti Universiti Imam di Riyadh atau Universiti King Saud juga di Riyadh. Ada pula yang tidak mewajibkan, namun pelajar boleh mengambil ujian bahasa yang dikendalikan jika mahu ke pusat bahasa dahulu seperti di Universiti Islam Madinah.

Maka sebahagian pelajar tersebut langsung ingin masuk ke kuliah kerana tidak mahu “membazirkan” masa setahun dua mereka di pusat bahasa, kerana menyangka mereka telah cukup bersedia.

Namun setelah masuk ke kuliah, tiba-tiba mereka mendapati kesukaran untuk memahami bahasa atau dialek pensyarah, malah tiba-tiba dibebani dengan kitab atau nota tebal yang sebelumnya di Malaysia mereka tidak pernah terbeban sebegitu. Tugasan yang diberikan juga sangat mencabar untuk peringkat awal tersebut, menjadikan mereka seakan “tersedak”, lalu ramai yang gagal dalam pelbagai subjek teras pada semester pertama, sehingga membuatkan mereka down bersama pointer yang down dan sukar bangkit.

Hal ini terjadi kerana mereka belum cukup bersedia dengan suasana berbahasa arab sedemikian.

Malah di tempat saya mengajar sendiri walaupun ia merupakan fakulti yang berteraskan pengajian al-Quran dan al-Sunnah, kualiti bahasa arab majoriti para pelajarnya masih sangat mengecewakan walaupun mereka sudah di tahun akhir pengajian. Mereka sukar memahami bahasa arab baik semasa di kelas mahupun ketika merujuk buku. Walaupun telah ditekankan untuk mempunyai inisiatif sendiri untuk berbahasa arab di dalam kelas atau di luar kelas, mereka tetap juga tidak mampu.

Ya, barangkali kerana suasana kemelayuan yang terlampau kuat sehingga menenggelamkan identiti kita sebagai penuntut ilmu. Kita lupa orang melayu Malaysia ini “pemalu”, dan sukar maju jika tidak dipandu. Kita mudah leka tanpa tekanan.

Indonesia Lebih Ke Hadapan

Beberapa bulan lepas saya dan beberapa sahabat berkesempatan menziarahi Jami’ah al-Rayyah, sebuah pusat pengajian agama di Sukabumi, Indonesia yang telah beroperasi sejak sekitar 12 tahun dan dibina secara persendirian di atas tanah seluas kira-kira 45 ekar tanah di kawasan tinggi yang sangat nyaman suasananya.

Pesantren ini terkenal kerana mampu melahirkan para pelajar yang mahir dan fasih berbahasa arab. Saya sempat bersembang dengan seorang bekas pelajarnya di sana yang tidak pernah belajar di negara arab, namun lebih fasih dari ramai pelajar melayu yang sudah bertahun-tahun belajar di negara arab.

Tempoh pengajian mereka sekitar 5 tahun selepas tamat SMR (setara SPM di Malaysia). Para pelajarnya datang dari pelbagai latar belakang pengajian dan ramai yang masih zero berbahasa arab ketika diterima belajar di sana. Namun mereka mampu menyediakan pengajian yang melatih para pelajar untuk berbahasa arab dalam tempoh beberapa bulan sahaja, bahkan kami diberitahu selepas 2 bulan, mereka sudah mampu memberi khutbah dalam bahasa arab!

Saya tertanya-tanya apakah rahsianya??

Ketika melangkah ke pesantren ini saya mendapat jawapannya.  Cukup mengagumkan kerana hampir segalanya cuba disediakan mengikut persekitaran atau suasana arab. Dari tempat sambut tetamunya, hidangannya, asramanya, kelasnya, bahkan tingkap dan pintunya juga dirangka mirip bangunan arab demi memberikan suasana arabia buat para pelajarnya seakan belajar di negara arab yang sudah tentu memudahkan proses pengajian bahasa arab penuntutnya.

Para pelajar dan guru diwajibkan berbahasa arab 24 jam sesama mereka selagi berada di kawasan pesantren. Segala papan tanda, poster-poster semuanya dalam bahasa arab.

Ketika melangkah masuk ke bangunan asramanya, suasananya benar-benar membuatkan saya jadi teruja kerana terimbau kenangan lama ketika belajar di Madinah dan Riyadh dahulu.

Kesedaran Rahsia Kejayaan

Ya, rahsia kejayaan mereka ialah keupayaan mereka mewujudkan suasana arab walaupun 100% pelajarnya dan majoriti pengajarnya merupakan warga Indonesia.

Apa yang menarik, pelajar Jami’ah Arraayah ini dididik dengan kesedaran. Dengan kesedaran ini mereka berusaha bersama untuk mencapai objektif mereka belajar di sana, iaitu menguasai bahasa arab baik dari sudut pertuturan, mahupun tatabahasa.

Saya melihat kelemahan utama pengajian bahasa arab di mana-mana institusi pengajian Malaysia ialah ketidak mampuan kita mewujudkan suasana atau persekitaran sedemikian. Kita perlu akui bahawa pelajar kita tidak gagah untuk berusaha tanpa suasana atau tekanan. Pelajar kita sangat “pemalu” untuk bertutur di hadapan khalayak kerana terlalu “penakut” untuk melakukan kesilapan. Terlalu memikirkan kata-kata orang, terlalu khuatir akan labelan seperti “poyo” dan sebagainya. Akhirnya pelajar sendiri yang rugi.