BANTING, 3 Dis – “Penglibatan seramai 210 orang pelajar pintar cerdas dari seluruh Malaysia di Kem Permata Insan kali ke 7 telah mencatat peningkatan teramai iaitu seramai 83 orang berdasarkan peningkatan prestasi pelajar dalam ujian saringan yang ditetapkan,” ucap YBhg. Prof Dato’ Dr. Asma Ismail bersempena Lawatan Penaung Program Permata, YBhg. Datin Paduka Seri Rosmah Mansor di Kem PLKN Jugra, Banting.

Kem Permata Insan anjuran Pusat Permata Insan, USIM telah bermula dari 23 November hingga 6 November yang melibatkan pelajar pintar dan memiliki (IQ) tinggi dengan pengisian modul berdasarkan Sains Iqra’, Biologi, Wahyu Fizik dan Teknologi.  Pelajar di kem ini terdiri daripada kelompok junior (8 tahun), super-junior (9 tahun), senior (10 tahun) dan super-senior (11 tahun) sangat digalakkan untuk melibatkan diri secara aktif bersama ahli kumpulan serta dibimbing oleh fasilitator daripada kalangan pelajar Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam, Bangi.

Lawatan Penaung Program disambut mesra dengan alunan selawat dan majlis khatam al-Quran oleh pelajar Permata Insan disusuli dengan beberapa persembahan lain seperti choral speaking, persembahan menguji minda menerusi Mental Arithmetic dan ucapan Presiden Pertama Permata Insan, Adik Ahmad Faiz bin Yazid, 11 tahun.

Acara lain adalah penyampaian hadiah kepada pelajar menerusi pencapaian membanggakan antaranya menyertai pertandingan di peringkat antarabangsa melalui penyertaan The 9th World Creativity Festival : Mind Frontier (WCF 2013) anjuran Korea Advanced Institute of Science & Technology (KAIST) dan The Korean Society for the Gifted (KSG) pada Oktober lepas. Penglibatan pelajar dalam pertandingan penulisan tesis bertajuk Ensuring The Children’s Happiness : The EduFun Plan yang telah memenangi pingat gangsa juga turut mendapat perhatian disamping Presiden Permata Insan menjadi Juara Pidato DiRaja Peringkat Kebangsaan 2013.

“Jelaslah di sini bahawa matlamat Permata Insan bukan sahaja untuk menghasilkan golongan cerdik pandai akademik ataupun spiritual semata, tetapi melahirkan insan yang syumul ataupun lengkap dalam setiap aspek kehidupannya seterusnya yakin hasrat untuk melahirkan golongan cedekiawan atau nobel laureate akan berjaya dicapai,” ujar YBhg Datin Paduka Rosmah dalam ucapannya.

Perancangan untuk membina sebuah kolej di dalam kampus USIM bagi memudahkan proses pembelajaran dan penjanaan pendidikan pelajar pintar Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 dengan peruntukan RM68juta dijangka akan mula beroperasi pada tahun 2015.

Turut hadir adalah YBhg. Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Haji Abdul Shukor bin Haji Husin, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, YBhg. Dato Abdul Hadi Awang Kechil, Ketua Pengarah, Jabatan Latihan Khidmat Negara dan YBhg. Prof. Datuk Mizan Adiliah Ahmad Ibrahim, Pengarah Pusat Permata Insan serta ahli keluarga pelajar Permata Insan.

Disediakan oleh:

Syazlyna Jamil
Penolong Pendaftar StraComm