NILAI, 10 FEB 2015 – Karnival Sukan Mahasiswa (SUKNES@U) 2015 yang bermula 8 hingga 10 Februari telah diadakan di Kompleks Sukan Tunku Najihah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) tiba ke acara kemuncak di Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah yang dirasmikan oleh YAB Datuk Seri Utama Mohamad Hassan, Menteri Besar Negeri Sembilan bertempat di Dewan Besar USIM.

Kejohanan kali kedua anjuran Pertubuhan Mahasiswa Negeri Sembilan (MANIS) adalah dengan kerjasama Pusat Sukan USIM dengan sokongan Kerajaan Negeri Sembilan dan Yayasan Negeri Sembilan (YNS) menghimpunkan lebih dari 19 IPTA dan  3 IPTS seluruh Malaysia. Seramai 1500 orang peserta yang turut serta dalam acara sukan yang dipertandingan dengan tujuan memberi manfaat kepada pembentukan insaniah mahasiswa disamping mengeratkan hubungan dan memupuk perpaduan dalam kalangan anak Negeri Sembilan.

“Di USIM, pembudayaan sukan juga turut diperkasakan di mana Pusat Sukan akan menganjurkan senaman aerobik dan berbasikal di sekitar kampus pada setiap petang Rabu bagi menggalakkan warga USIM meningkatkan kesihatan dan melahirkan warga USIM yang cergas dan cerdas bersesuaian dengan pepatah arab “Al-Aqlu Salim fi Jismi Salim” iaitu otak yang cerdas terletak pada badan yang cergas”, jelas Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad, Naib Canselor USIM.

YAB Datuk Seri Utama Mohamad Hassan, Menteri Besar Negeri Sembilan dalam kenyataannya berkata, betapa pentingnya aturan hidup ini disulami dengan aktiviti sukan dan rekreasi yang akhirnya akan mengharmonikan setiap tanggungjawab yang dipikul ke arah kecemerlangan. Mahasiswa juga disaran merebut peluang untuk menyertai program-program seperti Suknes@U ini, kerana aktiviti sukan dapat memupuk nilai-nilai positif serta meningkatkan mutu hidup dan kesejahteraan masyarakat seterusnya membentuk insan yang berkualiti.

Selain itu, buat pertama kalinya turut diadakan satu sesi pertemuan antara YAB Menteri Besar dengan kakitangan pentadbiran USIM yang berasal dari Negeri Sembilan. Dianggarkan seramai 141 orang kakitangan pentadbiran USIM yang berhimpun bagi tujuan ini.

Turut hadir wakil pengurusan dari Yayasan Negeri Sembilan, MANIS, IPTA dan IPTS bagi meraikan kemenangan kontinjen-kontinjen SUKNES.

Disediakan oleh :

Noorumaina Mohamed Yunus

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204