NILAI 23 Mac – Seramai 100 perwakilan Persatuan dan Kumpulan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas dari 15 buah Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) berhimpun di Universiti Sains Islam Malaysia hari ini bersempena dengan Program Sumbangsaran Intelektual Peringkat IPTA “Transformasi Kecemerlangan Skim Pentadbiran IPTA”. Turut hadir pada program ini Presiden CUEPACS, Y.Bhg. Dato’ Hj. Omar Osman.

Program anjuran Majlis Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas Institusi Pengajian Tinggi Awam (MASTI) dengan kerjasama Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) ini adalah bertujuan untuk menambah baik sistem tadbir urus dan governan serta menyelaras sistem penyampaian (delivery system) IPTA.

Selain itu juga, objektif penganjuran program ini adalah bagi mengukuhkan dan menyebarluaskan jaringan kerjasama (networking) di kalangan Pegawai Tadbir Sektor Pengurusan & Profesional serta Ikhtisas IPTA disamping menyeragamkan prosedur dan proses kerja dalam pengurusan dan pentadbiran.

Dalam pada itu, satu memorandum mengandungi saranan penambahbaikan skim perkhidmatan Kumpulan Pegawai Tadbir & Ikhtisas Seluruh IPTA turut diserahkan kepada Y.Bhg. Dato’ Hj. Omar Osman untuk dikemukakan kepada pihak kerajaan.

Memorandum yang mempunyai sembilan cadangan penambahbaikan ini antara lain adalah bertujuan untuk mentransformasikan Skim Perkhidmatan Kumpulan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Oleh:
Khairul Azizi Elias