Di awal sesi persekolahan ini, kita dapati ibu bapa sibuk dengan persiapan persekolahan anak-anak. Masing-masing mengambil berat dengan membekalkan kelengkapan persekolahan yang mencukupi. Sebaliknya mereka lupa satu perkara, iaitu asas pendidikan. Pada hakikatnya ibu bapalah yang wajib mendidik anak-anak sejak dari kecil lagi. Mereka perlu mendidik dari sudut jasmani dan rohani. Sebaliknya kesebokan mereka dalam menghadapi dunia kerjaya membuatkan tanggung jawab ini diletakkan kepada orang lain. Semasa kecil, kanak-kanak diberi kepada pengasuh atau orang gaji. Kanak-kanak hanya dapat merasa kasih sayang pada waktu malam atau hujung minggu sahaja. Kemudian mereka dihantar ke pusat asuhan kanak-kanak dan seterusnya ke sekolah yang merupakan tempat transit semasa ibu bapa keluar bekerja. Kanak-kanak terpaksa menguruskan diri mereka sendiri dan mengharapkan kasih sayang orang lain. Lama kelamaan jiwa si kecil ini akan memberontak dengan melakukan perkara-perkara yang boleh melanggari disiplin sekolah. Mereka juga menunjukkan sikap baik di hadapan ibu bapa. Sebaliknya di belakang, mereka timbullah sikap sebenar. Ketika itu ibu bapa mula menyalahkan orang lain jika anak mereka ditegur atau didenda dengan sebab kesalahan.
Pada hari ini apabila berlaku bencana dan juga gejala buruk yang melibatkan remaja, ramai masyarkat menunding jari kepada badan-badan tertentu, terutamanya sekolah. Seolah-olah guru-guru gagal mendidik remaja tersebut. Pada hakikatnya siapa yang melahirkan anak-anak dan remaja ini, merekalah yang bertanggung jawab mendidik. Semata-mata tanggung jawab membesar dari sudut jasmani sahaja tidak mencukupi untuk mendewasakan kanak-kanak. Dalam Islam kanak-kanak dilahirkan dengan fitrah yang bersih dan suci. Ibu bapalah yang akan mencorakkan anak-anak tersebut. Oleh itu, ibu bapalah yang wajib mendidik dan memastikan anak-anak mereka berjaya di masa hadapan bukan sahaja dari sudut kehidupan material bahkan sudut rohani juga. Mereka tidak boleh menyerah sepenuhnya tanggung jawab mendidik kepada pihak kedua terutamanya sekolah atau membiarkan tanpa didikan dan kasih sayang.
Guru-guru di sekolah tidak mampu memberi perhatian kepada setiap murid. Mereka juga mempunyai tugas-tugas dan juga tanggung jawab sendiri. Kita boleh lihat pada hari ini, kerakusan anak-anak yang tidak ditegur oleh ibu bapa ketika pergi ke pasar raya dan juga menziarahi rakan-rakan. Anak-anak yang tidak terurus, lari ke sana ke mari, mencapai itu dan ini. Ibu bapa hanya asyik dengan telefon sahaja tanpa menegur mereka. Ibu bapa perlu menunjukkan tauladan yang gaya hidup yang baik kepada anak-anak. Mereka juga perlu bersikap dan berakhlak mulia dalam tingkah laku. Kanak-kanak akan mengikut tauladan ibu bapa mereka dalam membina kehidupan.
Anak-anak yang membesar tanpa perhatian yang baik daripada kedua ibu bapa akan menyumbang kepada berlakunya kes juvana. Peringkat permulaan, mereka hanya nakal melakukan kesalahan kecil yang tidak membawa kepada kes jenayah. Jika kenakalan mereka tidak ditegur atau dibendung, mereka akan terus melakukan kesalahan-kesalahan yang melibatkan kes jenayah. Antara kes juvana yang mengejutkan ialah yang membabitkan jenayah narkotik, kekerasan, harta benda dan trafik.
Jangan terlalu sayangkan anak-anak dengan tidak menegur dan melarang mereka ketika melakukan kesalahan. Begitu juga jangan terlalu manja dan percayakan anak-anak seratus-peratus dengan tidak mendengar aduan-aduan yang dibuat terhadap mereka seperti aduan kawan-kawan dan guru-guru. Sebaliknya selidik dahulu dan beri perhatian serta awasi mereka. Pepatah Melayu ada menyebut; sayangkan anak tangan-tangankan. Oleh itu, sempena dengan awal sesi persekolahan ini, ibu bapa hendaklah memikul tanggung jawab mendidik anak-anak dengan baik dan memberi tunjuk ajar yang berguna untuk masa hadapan mereka.