USIM sambut baik Kementerian Pendidikan beri kebebasan penuh anjur program ilmiah dalam kampus

KENYATAAN OLEH PROF DATO’ DR HASSAN BASRI AWANG MAT DAHAN
TIMBALAN NAIB CANSELOR (HAL EHWAL PELAJAR DAN ALUMNI)
UNIVERSITI SAINS ISLAM MALAYSIA (USIM)

 

NILAI, 8 Jun 2018 – Saya menyambut baik kenyataan yang dikeluarkan oleh YB Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkaitan universiti diberikan kebebasan penuh untuk menganjurkan program ilmiah tanpa sebarang sekatan oleh mana mana pihak khususnya Kementerian Pendidikan selepas ini. Diakui sebelum ini terdapat beberapa sekatan kepada pihak universiti untuk menganjurkan program ilmiah samada berbentuk syarahan, forum, wacana, ceramah mahupun debat khususnya yang dianjurkan oleh mahasiswa.

Harus kita sedari bahawa di universiti terdapat dua golongan utama yang membentuk universiti iaitu mahasiswa dan pensyarah. Mahasiswa merupakan pemimpin negara di masa hadapan kerana mereka akan menjadi sebahagian kecil daripada masyarakat yang akan berada di barisan hadapan untuk membentuk kepimpinan negara. Ini bermaksud mereka perlu dilatih supaya berupaya untuk berhujah dengan fakta yang betul dan mencari sebanyak mungkin maklumat untuk dikongsi bersama masyarakat kampus dan masyarakat luar.

Selama ini mereka dikekang oleh peraturan yang dibuat oleh universiti kerana universiti pada masa sama perlu mematuhi arahan yang ditetapkan oleh Kementerian. Bagi sesetengah keadaan, mahasiswa yang tidak sealiran dengan aspirasi Kerajaan dan lantang menyuarakan pandangan, pergerakan mereka sentiasa diperhati dan diikuti secara dekat. Kenyataan Menteri Pendidikan ini sesungguhnya memberikan sinar dan cahaya kepada mahasiswa agar dapat terus mengasah bakat mereka di universiti tanpa terkongkong lagi.

Keadaan yang sama turut menimpa pensyarah sebenarnya. Selaku ahli akademik yang mana pandangan mereka amat signfikan tetapi tidak dibenarkan membuat kenyataan dengan bebas atas nilai akademia masing-masing. Tindakan tatatertib menanti sekiranya kenyataan dikeluarkan  ditafsir bercanggah dengan pendirian kerajaan, walaupun kenyataan tersebut adalah berlandaskan fakta dan kajian ilmiah.

Kita juga amat teruja dengan arahan Menteri Pendidikan supaya penghadang pintu masuk utama ke universiti dibuang supaya universiti mudah dimasuki oleh masyarakat yang dahagakan ilmu. Arahan ini adalah amat simbolik untuk menganjak ke zaman baharu iaitu kita dapat melihat universiti dan masyarakat tidak lagi terpisah dengan tembok dan pagar.

Pandangan yang diberikan oleh warga universiti dari berbagai dimensi akan dapat digarap dan dihadam oleh masyarakat dalam menghadapi sesuatu isu atau krisis. Maka hasrat untuk memasyarakatkan universiti akan tercapai dan masyarakat tidak lagi terbelenggu dengan pandangan sebelah pihak sahaja seperti yang berlaku sebelum ini.

Saya menyedari terdapat kegusaran sesetengah pihak bahawa arahan yang dikeluarkan oleh Menteri Pendidikan mungkin boleh ditafsirkan sebagai mengundang kepada penyusupan ideologi atau fahaman negatif ke dalam kampus. Ingin saya tegaskan, kegusaran ini tidak berasas kerana universiti adalah sebuah pusat ilmu yang unggul yang mampu menilai segala yang baik dan buruk. Andainya universiti tidak mampu menjadi sumber penurunan ilmu, maka kepada institusi mana lagi hendak kita sandarkan?

 

 

 

2018-06-08T16:32:44+00:00